PRK Ayer Kuning: Tun M kecewa pengundi pilih BN

PUTRAJAYA - Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan rasa kecewa terhadap keputusan pengundi di DUN Ayer Kuning yang memilih calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu lalu.

Sepatutnya kata bekas Perdana Menteri itu, pengundi Ayer Kuning perlu memberi sokongan terhadap parti yang berjuang untuk negara.

"Saya sedih dan tidak faham kenapa beri kemenangan kepada orang yang berjuang bukan untuk negara, tetapi parti," katanya dalam ucapan di Majlis Sambutan Aidilfitri Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), di sini pada Isnin.

Sabtu lalu, calon BN, Mohamad Yusri Bakir menang besar pada PRK DUN Ayer Kuning, Perak dengan majoriti 5,006 undi.

Beliau yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah meraih 11,065 undi, mengatasi calon Perikatan Nasional (PN) Abdul Muhaimin Malek yang memperoleh 6,059 undi, manakala calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS mendapat 1,106 undi.

Seramai 31,897 pengundi dalam daftar pemilih PRK Ayer Kuning.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung selepas menyertai perlawanan bola sepak persahabatan di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Allahyarham Ishsam menang dalam pertandingan lima penjuru dengan majoriti 2,213 undi.