DAP tangkis dakwaan anti-Islam, hulur sumbangan kepada masjid - Nga Kor Ming

SHAH ALAM - DAP menegaskan dakwaan kononnya parti itu adalah anti-Islam tidak berasas, sebaliknya parti itu sentiasa menghormati semua agama termasuk agama Islam.

Timbalan Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, dalam usaha membuktikan komitmen tersebut, sumbangan berjumlah RM72,000 telah disalurkan kepada sebuah masjid di kawasan parlimennya di Teluk Intan.

**media[3103639]**

Menurut beliau, amalan murni itu sudah menjadi tradisi parti berkenaan untuk menyumbang kepada institusi agama dan masyarakat setempat.

“Saban hari DAP difitnah anti-Islam, namun parti keramat ini sentiasa menghormati semua agama dan sudah tentunya termasuk agama Islam.

“Hari ini saya menyerahkan RM72,000 sumbangan kepada masjid di kawasan Parlimen Teluk Intan dan amalan murni ini sudah menjadi tradisi kami,” katanya di X.

Menerusi hantaran lain, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu sekali lagi menepis dakwaan tidak berasas terhadap partinya dengan melabelkan tohmahan berkenaan sebagai fitnah menjijikan.

“Hari ini saya memberi sumbangan RM150,000 kepada pelajar-pelajar Melayu di kawasan Parlimen Teluk Intan.

“Malaysia Madani, milik kita semua,” katanya.