BN pertahan kubu kuat kerusi DUN Ayer Kuning

TAPAH - Barisan Nasional (BN) berjaya membuktikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sebagai kubu kuat apabila calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu pada Sabtu.

Dalam pertembungan tiga penjuru, Mohamad Yusri, 54, yang merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah selaku wakil Kerajaan Perpaduan menang dengan majoriti 5,006 undi.

Bekas guru dan pensyarah kanan berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam Pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya itu memperolehi 11,065 undi.

Pencabarnya, Abd Muhaimin Malek, 44, dari Perikatan Nasional memperolehi 6,059 undi manakala calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40, yang bertanding kali kedua di kerusi sama meraih 1,106 undi.

Keputusan rasmi tersebut diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di Pusat Penjumlahan Undi PRK DUN Ayer Kuning di Dewan Merdeka Tapah pada jam 9.36 malam.

Menurut Ahmad Redhauddin, sebanyak 289 kertas undi ditolak dan peratusan keluar mengundi yang direkodkan adalah 58.07 peratus.

Kemenangan calon BN di DUN Ayer Kuning ini menyaksikan parti itu dan Pakatan Harapan (PH) kekal dengan 33 kerusi DUN di Perak manakala Perikatan Nasional (PN) dengan 26 kerusi.

DUN Ayer Kuning menjadi kubu kuat BN sejak lapan penggal lalu.

Bekas wakil rakyatnya, Datuk Azman Mahalan, memenangi kerusi tersebut selama empat penggal berturut-turut sejak 1986 hingga 2004, diikuti oleh Datuk Samsudin Abu Hassan dari 2004 hingga 2022.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung pada 22 Februari lepas.

Allahyarham merupakan Ketua UMNO Bahagian Tapah memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan majoriti 2,213 undi.

Mengikut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 31,281 orang pemilih berdaftar layak membuang undi yang berlangsung pada Sabtu di 19 pusat mengundi ditetapkan.

Pada Selasa lepas, sebanyak 93.4 peratus daripada 500 anggota polis dan pasangan telah menunaikan tanggungjawab di dua pusat mengundi semasa proses pengundian awal PRK berkenaan.