PRK Ayer Kuning: Undi PN merosot

SHAH ALAM – Calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek bukan sahaja gagal merebut kerusi wakil rakyat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, malah jumlah undi yang diperoleh turut merosot.

Abd Muhaimin memperoleh 6,059 undi berbanding 6,812 undi yang diperoleh calon PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, Muhammad Noor Farid Zainal.

Beliau yang juga anak tempatan dan Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir yang memperoleh 10,971 undi.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Pensyarah Program Pengajian Polisi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, antara kelemahan calon PN adalah kerana kerusi DUN Ayer Kuning bukan merupakan kawasan kubu Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Selain itu, tindakan PN menggunakan isu kandang babi turut disifatkan sebagai kelemahan dan senjata makan tuan kerana perkara tersebut sudah lama dibangkitkan masyarakat setempat.

Ini kerana pemimpin Pas dan Bersatu sendiri tidak melakukan sebarang tindakan berkesan untuk menangani isu terbabit semasa mereka menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.