PRK DUN Ayer Kuning: Undi PSM meningkat

SHAH ALAM – Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS mencuri tumpuan apabila memperoleh peningkatan undi hampir sekali ganda dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning.

Bawani, yang juga Timbalan Setiausaha Agung PSM, memperoleh 1,106 undi berbanding 586 undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

PRK kali ini merupakan percubaan kali kedua Bawani untuk merebut kerusi sebagai wakil rakyat selepas gagal memperoleh deposit pada pilihan raya lalu.

Bawani, 40, merupakan anak tempatan Ayer Kuning dan seorang peguam yang aktif dalam aktiviti sosial.

Sebelum ini, Bawani menjadi perhatian apabila menaiki traktor ketika hadir pada hari penamaan calon.

Tindakan itu menonjolkan simbol perjuangan parti tersebut yang membawa agenda memperjuangkan golongan pekerja, petani dan komuniti Orang Asli, dengan penekanan terhadap isu-isu tempatan seperti alam sekitar dan keadilan sosial.

Kempen PSM turut mendapat sokongan daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).