Gagal capai 18,000 undi kerana peratusan keluar mengundi rendah - Saarani

TAPAH - Kegagalan mencapai sasaran awal 18,000 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dipercayai akibat peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu 58.07 peratus.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya juga tidak sempat mengkaji trend mengundi di 20 pusat daerah mengundi (PDM) secara mendalam.

Bagaimanapun, menurut beliau, keputusan PRK DUN Ayer Kuning yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) membuktikan bahawa pengundi daripada pelbagai kaum cintakan kedamaian, benci provokasi dan menolak golongan pemfitnah.

“Semua kaum yang ada di sini (Ayer Kuning) sama ada Melayu, Cina, India dan Orang Asli, masing-masing telah memberikan undi kepada calon parti daripada kerajaan Perpaduan.

“Ia bagus kerana menggambarkan bagaimana pengundi di Ayer Kuning cintakan kedamaian, tak suka provokasi dan gaduh serta menolak golongan pemfitnah.

“Sebab itu saya kata sebelum ini, orang luar bercakap ikut sedap mulut dan menyebabkan pengundi Ayer Kuning huru-hara. Padahal lepas habis pilihan raya, mereka balik ke tempat masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas pengumuman keputusan PRK DUN Ayer Kuning di Dewan Merdeka, di sini pada Sabtu.

BN berjaya membuktikan kerusi DUN Ayer Kuning sebagai kubu kuat apabila calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir menang dalam PRK kawasan itu.

Dalam pertembungan tiga penjuru, Mohamad Yusri, 54, yang merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah selaku wakil kerajaan Perpaduan menang dengan majoriti 5,006 undi.

Bekas guru dan pensyarah kanan berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam Pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya itu memperoleh 11,065 undi.

Pencabarnya, Abd Muhaimin Malek, 44, dari Perikatan Nasional (PN) memperoleh 6,059 undi manakala calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40, yang bertanding kali kedua di kerusi sama meraih 1,106 undi.

Keputusan rasmi tersebut diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di Pusat Penjumlahan Undi PRK DUN Ayer Kuning di Dewan Merdeka Tapah pada jam 9.36 malam.

Menurut Ahmad Redhauddin, sebanyak 289 kertas undi ditolak dan peratusan keluar mengundi yang direkodkan adalah 58.07 peratus.

Kemenangan calon BN di DUN Ayer Kuning menyaksikan parti itu dan Pakatan Harapan (PH) kekal dengan 33 kerusi DUN di Perak manakala PN 26 kerusi.

Sementara itu, Saarani turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada jentera BN, ‘Friends of BN’, dan PH yang turun padang bagi meraih sokongan pengundi Ayer Kuning.

“Tidak dilupakan juga ucapan terima kasih buat pengundi Ayer Kuning. Insya-ALLAH wakil rakyat baharu ini akan melengkapkan kembali 33 ADUN kerajaan dalam DUN Perak.

“Saya sendiri akan bantu bimbing beliau menjadi wakil rakyat yang terbaik untuk penduduk Ayer Kuning,” ujar beliau.