TAPAH – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning membuktikan Kerajaan Perpaduan sebagai model terbaik untuk rakyat Malaysia.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) jelas membuahkan hasil apabila BN berjaya merampas semula beberapa pusat daerah mengundi (PDM) yang sebelum ini dimenangi oleh parti lawan.
"Daripada tujuh PDM yang dahulu PH menang dengan majoriti besar, kini kita pula menang dengan majoriti besar.
"Malah, daripada empat PDM yang dimenangi PAS sebelum ini, kita berjaya menawan kembali tiga PDM dan mengurangkan majoriti di satu lagi PDM iaitu Tanjong Keramat," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Merdeka Tapah pada Sabtu.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, menang menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dengan majoriti 5,006 undi.
Asyraf Wajdi berkata, sokongan pengundi berbilang kaum, terutamanya dari kawasan majoriti Tionghoa, membawa mesej bahawa mereka mengutamakan nilai hormat-menghormati, toleransi dan memahami realiti kemajmukan negara.
"Kalau tidak ada keyakinan, kita tidak akan dapat undi melebihi 11,000. Kita juga tidak akan mampu menang di PDM yang majoriti pengundinya adalah kaum Tionghoa," katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa rakyat, termasuk orang Melayu, tidak terpengaruh dengan kempen politik kebencian dan cubaan menakut-nakutkan mereka dengan dakwaan Islam dan kedudukan Melayu terancam.
"Jika tidak, tidak mungkin kita dapat menawan kawasan-kawasan tradisi PAS. Maknanya, Melayu kembali menyokong UMNO dan BN. Mereka tidak terjejas dengan kempen-kempen membenci, memaki hamun dan mengeluarkan fitnah.
"Kerajaan hari ini bukan hanya tentang UMNO dan DAP seperti yang dicanang, tetapi melibatkan 18 parti politik yang bersama-sama memastikan kestabilan dan kemakmuran negara," katanya.