PRK Ayer Kuning: Zahid Hamidi ucap tahniah kepada jentera BN

SHAH ALAM – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada jentera Barisan Nasional (BN) atas kejayaan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi BN, menyifatkan kemenangan itu sebagai kesinambungan legasi kecemerlangan Allahyarham Ishsam Shahruddin yang dikenang sebagai tokoh berdedikasi dalam berbakti kepada rakyat Ayer Kuning.

"Semangat beliau akan terus hidup dan menjadi inspirasi kepada perjuangan parti," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengundi Ayer Kuning kerana menunaikan tanggungjawab demokrasi serta mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera BN, terutamanya Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dan rakan-rakan Kerajaan Perpaduan atas usaha gigih mereka.

"Semangat juang dan keikhlasan kalian adalah tiang seri kemenangan ini," tambahnya.

Dalam PRK tersebut, calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir mencatat kemenangan dengan majoriti 5,006 undi selepas memperoleh 11,065 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek (6,059 undi) dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS (1,106 undi).

Ahmad Zahid turut menyifatkan kemenangan itu lebih manis apabila 10 daripada 11 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang sebelum ini dimenangi pembangkang pada PRU lalu kini kembali ke pangkuan BN.

Menurutnya, keputusan ini membuktikan rakyat menolak politik kebencian dan memilih kestabilan, kemajuan, serta kepimpinan berwibawa.

"Ini juga isyarat jelas bahawa Kerajaan Perpaduan diterima kerana mampu mentadbir negeri dan negara berasaskan prinsip perpaduan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid mengingatkan Dr Mohamad Yusri agar sentiasa merendah diri dan menunaikan amanah rakyat dengan penuh keikhlasan serta komitmen untuk memajukan DUN Ayer Kuning.