PRK Ayer Kuning: Sekat hasrat BN peroleh 18,000 undi satu kejayaan - PN

TAPAH – Perikatan Nasional (PN) menyifatkan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sebagai kejayaan besar apabila berjaya menyekat hasrat Barisan Nasional (BN) untuk memperoleh 18,000 undi seperti disasarkan.

Pengarah Pilihan Raya PAS Perak, Mohd Fakhrudin Abd Aziz berkata, meskipun bertanding secara solo, PN berjaya mengekalkan kekuatan undi meskipun berdepan jentera kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Kalau ikut keputusan awal, kita boleh agak majoriti sekitar 4,000 lebih, jauh daripada sasaran BN iaitu 18,000 undi seperti disebut sebelum ini.

"Atas kertas, mereka sudah ada 15,000 undi dan mengharapkan tambahan kepada 18,000, namun mereka hanya dapat 10,000 undi sahaja," katanya ketika berucap di Markas Induk PN Ayer Kuning di sini pada Sabtu.

Mohd Fakhrudin berkata, faktor pengundi muda yang tidak pulang mengundi akibat kekangan kewangan, cuti dan baru pulang berhari raya juga memberi kesan terhadap peratusan keluar mengundi dalam PRK kali ini.

Namun, katanya, pencapaian kali ini tetap membanggakan kerana berjaya menafikan kemenangan mudah kepada BN di kubu kuat mereka.

"Ayer Kuning ini adalah model kekuatan BN. Parlimennya dikuasai MIC, DUN Chenderiang oleh MCA dan Ayer Kuning oleh UMNO.

"Walaupun berdepan kekangan, PN berjaya bertahan dan ini memberi isyarat positif untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 nanti," katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera parti dari seluruh negara yang sanggup turun membantu sepanjang kempen PRK itu berlangsung.