Calon tewas Pemilihan PKR berhak buat rayuan - Hassan Karim

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan PKR untuk membuat keputusan berhubung cadangan pertukaran kerusi Parlimen Johor Bahru antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurutnya, keputusan terbaik pastinya akan dipertimbangkan oleh kepimpinan parti.

"Sesiapa sahaja boleh bertanding di kerusi berkenaan kelak dan saya harap pucuk pimpinan PKR dapat membuat keputusan terbaik. Saya sendiri sudah tiada apa-apa, namun akan menyerahkan kerusi ini kepada parti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pasir Gudang di Taman Kota Puteri, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Hassan turut mengulas isu berkaitan pemilihan PKR dan menegaskan bahawa calon yang tewas berhak membuat rayuan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

"Parti Keadilan ada prosedur yang membolehkan pihak yang kalah merayu jika ada alasan kukuh seperti kesalahan proses pemilihan. Proses rayuan ini terbuka dan adil.

"Jika rayuan diterima dan semakan mendapati berlaku kesilapan, kemenangan boleh dibatalkan dan pemilihan semula boleh diadakan. Tetapi jika rayuan ditolak, calon perlu menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan beri laluan kepada orang lain," jelasnya.

Hassan turut berkongsi pengalamannya sebagai panel aduan dalam pemilihan parti tiga tahun lalu yang bertanggungjawab mengendalikan semakan aduan.