PSM ucap terima kasih kepada Dr Akmal, bantu sebar 'mesej'

TAPAH - Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak melihat sebarang masalah dengan kandungan poster kempen yang didakwa berunsur provokasi oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan berkata, poster kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning itu hanya memaparkan fakta mengenai percanggahan kenyataan UMNO-Barisan Nasional (BN) berhubung isu perpaduan.

"Kami berasa gembira kerana campur tangan Akmal telah memberi publisiti meluas kepada mesej kami.

"Tanpa beliau, kain rentang ini mungkin tidak sampai kepada khalayak yang lebih ramai," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Dr Akmal dilapor mempersoalkan tindakan PSM memaparkan wajahnya bersama Bawani KS dengan tulisan dalam bahasa Cina yang bermaksud 'undi BN = undi Dr Akmal'.

Beliau menegaskan, mana-mana pihak tidak perlu takut kepadanya selagi mana tidak menyentuh isu agama, bangsa dan raja-raja yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Arutchelvan atau Arul memaklumkan, Dr Akmal tidak perlu menuntut sebarang penjelasan daripada PSM, sebaliknya boleh mendapatkan pandangan rakan-rakan politik dalam kerajaan sendiri termasuk MCA, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tambahnya lagi, rakyat perlu menolak mana-mana parti yang membawa agenda perkauman dan memperalatkan isu 3R (kaum, agama dan raja) bagi meraih sokongan politik.

"PSM yakin Tan Teik Cheng (MCA), Woo Kah Leong (Pemuda DAP), Datuk Seri Tiong King Sing (Parti Demokratik Progresif-PDP) dan Adam Adli Abdul Halim (PKR) turut berkongsi pandangan yang sama terhadap Akmal.

“Kami juga percaya (dalam isu 3R), lebih banyak laporan polis telah dibuat terhadap Akmal berbanding mana-mana pemimpin PSM," katanya.