PSM kemuka tiga usul, tekad pertahan isu kesihatan rakyat Ayer Kuning

TAPAH - Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengemukakan tiga usul utama bagi memperkukuh sistem perkhidmatan kesihatan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sekiranya dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Calon PSM, Bawani KS berkata, antara usul yang akan dibawa ialah mempromosikan Skim Peduli Kesihatan untuk B40 (Peka B40) anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menyediakan saringan percuma bagi penyakit kurang darah, diabetes dan komplikasi buah pinggang kepada penerima bantuan kerajaan berusia 40 tahun ke atas.

Selain itu, menurutnya, PSM berhasrat menyediakan platform bagi menggalakkan penglibatan suri rumah dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah seliaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Beliau turut menegaskan bahawa PSM akan menggesa kerajaan negeri untuk menghentikan pemberian kelulusan tanah bagi pembinaan hospital swasta baharu.

“Kuasa berkaitan tanah terletak pada kerajaan negeri, dan ia boleh dikuatkuasakan melalui moratorium walaupun kelulusan penubuhan hospital baharu di bawah bidang kuasa kerajaan pusat.

“Jika usul ini diterima, kita dapat kurangkan pembinaan hospital swasta dan menambah bilangan pakar di hospital kerajaan. Ini akan meningkatkan akses rawatan kesihatan yang lebih sempurna kepada rakyat,” katanya pada sidang media PSM di perkarangan Klinik Desa Air Kuning, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Pengerusi PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj dan Timbalan Pengerusi, S Arutchelvan.

Bawani yang juga anak jati Ayer Kuning menambah, kemudahan kesihatan di kawasan tersebut masih tidak mencukupi dan sekurang-kurangnya seorang doktor perlu ditempatkan di setiap klinik desa.

Beliau yang juga Pengerusi PSM Perak berkata, usul itu akan tetap dikemukakan sama ada parti itu menang atau kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.

“Isu kekurangan fasiliti dan perkhidmatan kesihatan awam merupakan perjuangan konsisten PSM sejak sekian lama.

“Kami juga sentiasa bersuara berkenaan isu kenaikan caj hospital. Saya percaya, PSM satu-satunya parti yang benar-benar membawa suara rakyat dalam hal ini.

“Menang atau kalah, kami akan teruskan kempen ini kerana perkhidmatan kesihatan adalah hak asasi rakyat dan perlu diberi keutamaan, bukan sekadar disebut ketika musim pilihan raya,” ujarnya.