Ahli pilih pemimpin yang boleh bekerja untuk Cabang - Keadilan Kelantan

TANAH MERAH - Kemenangan beberapa muka baharu untuk jawatan Ketua Cahang Keadilan Kelantan pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 pada Jumaat memperlihatkan keputusan bijak ahli dalam memilih pemimpin yang boleh menerajui satu-satu kawasan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kelantan, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata, keputusan itu merupakan proses biasa dan selari sistem demokrasi yang menjadi amalan setiap kali proses pemilihan kepimpinan baharu.

"Proses ini perkara biasa dan ahli bijak menilai untuk memilih kepimpinan yang boleh menerajui cabang.

"Tujuannya, bagi memastikan bahawa kepimpinan cabang tersebut mampu mendepani pilihan raya akan datang," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurut beliau, pemimpin baharu yang diberi mandat pada penggal kali ini perlu bergerak lebih cergas untuk menggerakkan jentera di peringkat akar umbi.

Katanya, hal ini kerana jentera di peringkat akar umbi merupakan tunjang penting parti untuk berdepan pilihan raya.

Mohamad Suparadi memberitahu, bagaimanapun calon yang menawarkan diri untuk bertanding namun kalah adalah 'aset' tetap kepada parti.

"Menang atau kalah merupakan proses biasa dalam pemilihan parti. Kita (ahli) adalah aset untuk PKR Kelantan.

"Saya bersikap terbuka dan bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi keutuhan parti," katanya.