UMNO sudah lali drama lompat parti - Puad Zarkashi

TAPAH - UMNO sudah lali dengan 'drama lompat parti' setiap kali pilihan raya diadakan dengan penghijrahan terbaru melibatkan bekas Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, tindakan itu tidak akan membawa perubahan besar terhadap perjalanan kempen calon bagi memenangi kawasan ditandingi.

"Kita sudah ada pengalaman sebelum ini seperti Tan Sri Annuar Musa yang pernah menjadi Ketua Penerangan UMNO dan apa bezanya dengan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang juga bekas menteri besar semasa kerajaan BN.

"Tetapi apabila mereka menyertai Pas ia tidak membawa perubahan bahkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri lalu pun kita boleh rampas di negeri Pas sendiri walaupun Annuar ketika itu Pengarah Pilihan Raya," katanya ketika ditemui pada program 'Jom belajar' pelajar sekolah DUN Ayer Kuning- Tabung Pendidikan Melayu di Pusat Daerah Mengundi Tanjung Keramat di sini pada Isnin.

Hadir sama, calon BN PRK DUN Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir dan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan

Tambah Mohd Puad, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut terhadap penyertaan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampong Gajah itu.

"Saya tidak mahu memperkecilkan Wan Norashikin tetapi secara moralnya kalau hendak melompat pun tidak perlu pilih waktu ini.

"Jentera UMNO pun tidak ada membincangkan perkara ini tetapi kerana media tanya, saya jawab. Kalau tidak, saya pun tak mahu menulis dalam Facebook saya tentang itu ini tetapi itu hak dia," ujarnya.

Pada Sabtu, Pas mengumumkan Wan Norashikin daripada UMNO menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sempena Ceramah Mega Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat di sini.

Mantan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak itu pernah menang di kerusi DUN Kampong Gajah selama dua penggal iaitu pada 2018-2022 dan 2008-2013.