Wan Norashikin masih 'bisu' selepas masuk Pas

TAPAH - Bekas Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin masih membisu berhubung tindakannya menyertai Pas pada Sabtu.

Setakat jam 2 petang, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampong Gajah selama dua penggal itu hanya mengambil sikap berdiam diri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan.

Sinar Harian cuba menghubungi beliau melalui panggilan telefon dan WhatsApp namun panggilan masuk ke peti pesanan suara.

Media pada Ahad melaporkan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keputusan Wan Norashikin menyertai Pas bukan sesuatu yang mengejutkan dan tindak-tanduk beliau sudah dijangka dari awal oleh kepimpinan parti.

Malah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan tindakan bekas Exco Perak itu sebagai pilihan peribadi selain memaklumkan itu langkah terbaik untuk beliau masuk syurga.

Pada Sabtu, Pas mengumumkan Wan Norashikin daripada UMNO menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sempena Ceramah Mega Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat di sini.

Wan Norashikin yang hadir berjubah hitam dan berniqab ditemani suaminya iaitu Setiausaha Pas Kawasan Tapah, Muhammad Noor Farid Zainal.

Beliau pernah menang di kerusi DUN Kampong Gajah selama dua penggal iaitu pada 2018-2022 dan 2008-2013.

Wan Norashikin diberi peluang bertanding semula pada PRU15 di kerusi sama, namun tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Zafarulazhan Zan yang mewakili Pas.

Dalam kerajaan Perak, beliau diberi kepercayaan menerajui Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO negeri dari 2020 hingga 2022.

Mantan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak itu diuji dengan pemergian suaminya, Allahyarham Edi Razman Mohd Ismail yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada Mei 2021.