Akar umbi PKR bangkit singkir politik elit, kartel - Hassan Karim

SHAH ALAM – Veteran Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan keputusan pemilihan parti itu bagi penggal 2025-2028 sebagai satu isyarat jelas penolakan akar umbi terhadap budaya politik elit dan kartel dalam parti itu.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, ramai tokoh besar yang pernah menang dalam pemilihan PKR 2022 di bawah kem kartel 'Ayuh Malaysia' kini tewas mengejut kepada calon-calon baharu yang tidak memiliki nama besar mahupun jawatan tinggi dalam kerajaan.

"Mereka ini bukan menteri, bukan timbalan menteri, bukan ahli Parlimen.

"Tetapi mereka dekat dengan ahli-ahli biasa. Mereka mewakili suara akar umbi yang selama ini terasa terpinggir,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Hassan menegaskan bahawa pemimpin yang dulunya didukung kuat oleh jentera parti semasa pilihan raya kini semakin menjauhkan diri daripada anggota biasa setelah berada di tampuk kuasa.

"Ada yang tidak lagi menjawab panggilan, mesej atau WhatsApp.

"Malah ada yang keluar daripada kumpulan WhatsApp ahli yang sebelum ini bersusah payah menaikkan nama mereka," ujarnya lagi.

Beliau menyifatkan kekalahan tokoh-tokoh utama kartel dalam pemilihan kali ini sebagai hukuman demokratik daripada ahli akar umbi yang bosan dengan sikap elitis dan terputus hubungan dengan rakyat.

"Mereka yang pernah dilihat sebagai harapan, kini dihukum kerana lupa daratan. Ini menunjukkan langit itu tidak selalu cerah buat mereka yang berlagak besar selepas berkuasa," katanya.

Jelasnya lagi, keputusan pemilihan cabang-cabang PKR yang berlangsung secara digital di seluruh negara merupakan satu bentuk 'revolusi demokrasi' yang sedang menyapu bersih unsur politik kartel dan elit dalam parti.

'Ia adalah proses pembersihan dalam PKR demi memulihkan idealisme perjuangan parti. Akar umbi telah memilih untuk menyelamatkan Keadilan daripada terus dicengkam budaya politik yang merosakkan dari dalam," tegasnya.

Tambah beliau, pemilihan kali ini membuktikan bahawa PKR masih mempunyai kekuatan dalaman untuk melakukan reformasi secara berterusan, bermula dengan barisan kepimpinan di peringkat cabang yang lebih dekat dengan rakyat.

Pemilihan PKR 2025 menyaksikan lebih 222 cabang di seluruh negara melaksanakan proses undi secara dalam talian yang turut melibatkan pelbagai peringkat pimpinan, termasuk jawatan utama parti.

Pemilihan kali ini turut menyaksikan beberapa kekalahan mengejut melibatkan pimpinan utama PKR yang sebelum ini dilihat sebagai tokoh penting parti. Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad tewas dalam perebutan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa kepada pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir Akmal Nasir juga gagal mempertahankan kedudukannya sebagai Ketua Cabang Johor Bahru. Di Selangor pula, Exco Kerajaan Negeri, Rodziah Ismail turut kecundang dalam saingan di Cabang Ampang.