TAPAH - Seramai 582 pengundi membabitkan pegawai dan anggota polis serta pasangan akan menunaikan tanggungjawab mengundi awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Selasa.
Penolong Pegawai Pengurus (Undi Awal) PRK N48 DUN Ayer Kuning, Mohammad Shahir Mohammad berkata, proses pengundian melibatkan tiga saluran dengan dua pusat mengundi dibuka.
"Mengikut daftar pemilih, seramai 555 akan mengundi di Pusat Mengundi Dewan Rekreasi APR Transit, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor yang dibuka bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.
"Manakala 27 lagi mengundi di Pusat Mengundi Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.
Berdasarkan data SPR, kertas undi pos yang telah dikeluarkan di IPD Tapah adalah seramai tiga orang, manakala di PGA adalah 79 orang.
Mohammad Shahir berkata, persiapan akhir Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi hari pengundian awal berjalan lancar dengan penglibatan 18 petugas pilihan raya.
"Hari ini telah berlangsung semakan peti undi awal. Proses seterusnya adalah penyusunan kertas undi dan dakwat.
**media[3093433]**
"Dengan diawasi oleh polis dan pegawai, kertas undi awal ini kemudiannya akan disimpan di lokap IPD Tapah," katanya.
Tinjauan dilakukan di Dewan Merdeka Tapah mendapati petugas SPR tiba seawal jam 8 pagi bagi membuat semakan peralatan dan peti undi.
Semua peralatan tersebut dibawa ke dua pusat mengundi ditetapkan bagi proses akhir persediaan.
Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK DUN Ayer Kuning adalah seramai 31,897 orang dengan 31,315 merupakan pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan.
SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 26 April, manakala pengundian awal pada 22 April.
PRK DUN Ayer Kuning melibatkan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir; calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia, (PSM) Bawani KS.