'Saya sudah isytihar harta sebelum bersara' - calon BN

TAPAH - Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir memaklumkan bahawa pengisytiharan harta telah dibuat sebelum beliau memilih untuk bersara awal.

Setiausaha UMNO Tapah itu juga berkata, perkara itu wajib dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Saya perlu isytihar harta kerana ia prosedur wajib ketika menghantar semua dokumen berkaitan selain bebas daripada tindakan tatatertib dan melepasi tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Itu prosedur yang ditetapkan oleh JPA sebelum membolehkan kita memohon untuk bersara awal," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi kempen rumah ke rumah di sekitar kawasan Tapah Road di sini pada Isnin.

Menurut Mohamad Yusri, tiada keperluan beliau mengikuti langkah calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS mengumumkan jumlah harta yang dimilikinya.

**media[3093472]**

"Saya sudah mengisytiharkan kepada pihak berwajib jadi tidak perlu untuk saya bertindak demikian," katanya.

Media pada Ahad melaporkan Bawani mengumumkan jumlah aset bersih dimilikinya dianggarkan sebanyak RM21,248 membabitkan harta, pendapatan dan perbelanjaan serta hutang.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Yusri berkata, tempoh kempen berbaki empat hari digunakan sebaiknya bagi menjelaskan tiga tekad dan tujuh tawaran yang diumumkan dalam manifestonya yang bertemakan 'Ayer Kuning Sejahtera Bersama'.

**media[3093471]**

Pesara guru berusia 54 tahun berkata, penerimaan baik sepanjang tempoh berkempen diharap dapat diterjemahkan pada proses pembuangan undi, Sabtu ini.

"Sekarang ini kita sudah masuk gear lima jadi laju sikit tambahan sudah masuk minggu kedua ini.

"Kempen kita sudah meliputi lebih 70 peratus kawasan dan berbaki empat hari lagi, saya kena mantapkan strategi untuk memenangi hati pengundi," katanya.

PRK Ayer Kuning yang bermula 12 April lalu menyaksikan Mohamad Yusri ditentang oleh Abd Muhaimin Malek (Perikatan Nasional) dan Bawani KS.