‘Tangguh haji fatwa politik sesat, mengelirukan’ – Mujahid

SHAH ALAM - Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyarankan supaya umat Islam menangguhkan ibadah haji dan umrah demi memberi keutamaan kepada perjuangan politik disifatkan sebagai fatwa politik yang sesat dan mengelirukan.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, kenyataan Abdul Hadi itu dilihat merujuk kepada para pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Perak yang bakal diadakan tidak lama lagi.

“Beliau menyatakan bahawa menangguhkan ibadah haji dan umrah demi memenangkan perjuangan Islam merupakan satu tindakan terpuji, namun kenyataan tersebut secara jelas ditujukan kepada para pengundi PRK Ayer Kuning.

"Ini menimbulkan persoalan besar apabila ibadah yang merupakan rukun Islam kelima dianggap boleh diketepikan atas alasan politik pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dr Mujahid turut mempersoalkan apakah maksud ‘perjuangan Islam’ yang dimaksudkan Abdul Hadi, sedangkan pilihan raya diadakan untuk memilih wakil rakyat yang mampu menawarkan khidmat terbaik kepada masyarakat, bukan medan menentukan siapa lebih Islamik atau sebaliknya.

Beliau menegaskan, kenyataan sedemikian perlu dipandang serius kerana boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam serta berisiko mencetuskan tafsiran hukum yang bercanggah dengan syariat Islam.

“Fatwa sebegini berpotensi mencemarkan kemurnian agama apabila ibadah seperti haji yang merupakan rukun Islam kelima, dianggap boleh ditangguhkan semata-mata untuk memenangkan calon pilihan raya.

“Sedangkan semua pihak maklum bahawa proses menunaikan haji bukanlah mudah. Ia memerlukan kelulusan ketat, tempoh menunggu yang panjang dan kuota yang terhad,” katanya.

Dr Mujahid berkata, kenyataan Abdul Hadi itu dilihat menjurus ke arah pemikiran takfiri apabila secara tidak langsung menggambarkan hanya Pas sebagai satu-satunya parti yang memperjuangkan Islammanakala pihak lawan dianggap menentangnya.

“Padahal kedua-dua calon yang bertanding adalah umat Islam yang mewakili parti masing-masing.

"PRK ini sepatutnya menjadi medan demokrasi untuk memilih siapa yang lebih layak memberi khidmat, bukan dijadikan medan menilai keimanan atau perjuangan Islam seseorang,” tegasnya.

Tambah beliau, sikap seperti ini bukan sahaja memesongkan kefahaman rakyat terhadap konsep Siyasah Syar’iyah, bahkan mengheret isu politik ke dalam ranah akidah.

Beliau turut bimbang kenyataan sedemikian akan disambut secara taksub oleh penyokong tegar, sekali gus boleh meretakkan perpaduan ummah.

“Pihak berkuasa agama perlu bertindak segera dan tegas dalam menangani kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab seperti ini agar ia tidak menjadi norma baharu dalam perbahasan politik agama,” ujarnya.

Dalam masa sama, Dr Mujahid menyeru agar rakyat mengamalkan politik yang berasaskan ilmu dan kefahaman sebenar, bukannya politik emosi dan ketaasuban sempit.