KOTA KINABALU - Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Sabah, Datuk Seri Christina Liew gagal mempertahankan jawatan sebagai Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kota Kinabalu selepas tewas dalam pemilihan parti tersebut.
Dalam pemilihan yang berlangsung pada Ahad, Christina tewas sebanyak 224 undi daripada pencabarnya, Lee Li Mei yang mendapat sebanyak 1,381 undi.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Datuk Mustapha Sakmud berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Cabang PKR Kota Belud.
Selain itu, Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Peto Galim turut berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Cabang PKR Inanam.
Begitu juga Timbalan Ketua Penerangan PKR merangkap Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin kekal dalam pemilihan itu sebagai Ketua Cabang Tuaran.
Setiausaha MPN Sabah pula, Sazalye Donol Abdullah tewas di tangan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Zaidi Jatil apabila dipilih sebagai Ketua Cabang PKR Kota Marudu.