TAPAH - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menegaskan bahawa kestabilan Kerajaan Perpaduan perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memacu pembangunan dan membela nasib rakyat.
Beliau berkata, baik Pakatan Harapan (PH) mahupun Barisan Nasional (BN) perlu sedar ketika ini bukan lagi untuk bertelagah soal kaum dan agama.
"Kerajaan ini dah stabil, tak mahu lagi bergaduh soal kaum, agama. Tak ada masa dah untuk itu.
"Bila kita baik, kita stabil, kita mampu tarik pelaburan dan jaga rakyat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Perpaduan Perak sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning di Kampung Baharu Coldstream, Bidor di sini pada Ahad.
Hadir sama, calon BN DUN Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir.
Menurut Nurul Izzah, tahun ini Malaysia berada di ambang peranan besar sebagai Pengerusi ASEAN, dalam keadaan dunia berdepan tekanan kuasa besar, Amerika Syarikat.
**media[3093113]**
“Di sinilah kita perlu buktikan kekuatan dan kesatuan kita dalam gabungan ini supaya kita boleh jaga Malaysia, termasuk di seluruh negeri Perak," katanya.
Beliau menjelaskan, keutamaan kerajaan adalah memastikan segala dasar yang digubal Kerajaan Perpaduan berpaksikan keperluan rakyat, terutama selepas negara pulih daripada pandemik Covid-19.
Katanya, ini termasuklah usaha membasmi kemiskinan dan membuka peluang pekerjaan antaranya menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Dulu kena tunggu dapat ijazah. Sekarang, nak daftar belajar pun boleh. Belajar, belajar supaya masa depan dapat dijaga,” katanya.
Majlis Makan Malam Perpaduan Perak dihadiri lebih 2,600 orang itu dimeriahkan dengan kehadiran Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Hadir sama, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon; Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari dan Chang Lih Kang, serta Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin.