JOHOR BAHRU - Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tebrau menyaksikan keputusan luar jangka apabila dua Ahli Parlimen iaitu Jimmy Puah Wee Tse (Tebrau) dan R Yuneswaran (Segamat), tewas kepada pencabar mereka, M Prakash.
Prakash, yang merupakan ahli biasa parti, meraih 690 undi sekali gus menewaskan Yuneswaran yang memperoleh 589 undi dan Jimmy Puah yang meraih 560 undi.
Kekalahan itu sekali gus menggagalkan usaha Yuneswaran mempertahankan jawatan yang disandangnya sebelum ini.
Keputusan rasmi diumumkan menerusi laman sesawang Pemilihan PKR 2025 dan disahkan menerusi borang keputusan yang ditandatangani oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Daripada keseluruhan 2,276 ahli yang layak mengundi, sebanyak 1,840 kertas undi telah dikeluarkan bagi pemilihan cabang berkenaan.