KUANTAN – Pemuda UMNO Bahagian Kuantan menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan tegas kerajaan Pahang di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam membanteras aktiviti pencerobohan tanah kerajaan secara haram, khususnya di daerah Raub dan kawasan lain yang dikenal pasti terjejas.
Ketua Pemudanya, Tengku Ahmad Fareez Tengku Zulkifly berkata, tindakan tersebut bukan bersifat tergesa-gesa atau bermotif politik, sebaliknya selari dengan dasar pemulihan dan penguatkuasaan berterusan berdasarkan undang-undang sedia ada.
“Pencerobohan tanah kerajaan adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56). Pahang mempunyai kuasa sepenuhnya untuk memelihara tanah kerajaan serta Hutan Simpan Kekal demi kepentingan awam dan alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau turut menyambut baik titah tegas Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa tanah yang diteroka secara haram tidak akan diberi sebarang pengiktirafan atau hak milik.
“Titah baginda mencerminkan prinsip kedaulatan undang-undang dan kebijaksanaan seorang raja yang berjiwa rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Tengku Ahmad Fareez turut mengingatkan pihak tertentu agar tidak memanipulasi isu ini untuk kepentingan politik sempit.
“Pemuda UMNO Kuantan memberi amaran kepada pihak-pihak yang cuba menjadi ‘hero’ dengan mengeksploitasi penderitaan rakyat demi keuntungan politik, termasuk memainkan isu ini di atas pentas perkauman. Ia hanya akan memburukkan keadaan dan merencatkan usaha kerajaan negeri yang berlandaskan integriti dan ketelusan,” tegasnya.
Beliau turut meminta kerjasama semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti tempatan dan golongan belia untuk bersama-sama mendukung usaha kerajaan negeri dalam melindungi tanah warisan daripada terus diceroboh.
“Tanah adalah warisan, bukan bahan niaga. Jangan biarkan kerakusan segelintir pihak merampas hak majoriti yang menghormati undang-undang. Nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran,” katanya.
Sebagai generasi pelapis dan pewaris negeri, beliau menegaskan komitmen Pemuda UMNO Kuantan untuk terus berdiri teguh bersama kerajaan negeri dalam memastikan Pahang kekal terpelihara, aman dan makmur untuk generasi akan datang.