TAPAH - Barisan Nasional (BN) perlu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sebagai penentu kejayaan Kerajaan Perpaduan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Pengerusi BN itu berkata, hasrat kemenangan itu turut disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu rentak kemenangan dalam PRK DUN Nenggiri dan Mahkota diteruskan di Ayer Kuning.
"Dalam Kerajaan Perpaduan, ini merupakan PRK kelapan, ertinya lima dalam (calon) BN sementara tiga lagi dalam Pakatan Harapan (PH)
"PRK yang kelima untuk BN ini sangat-sangat penting untuk kita menentukan kejayaannya (menang). Memberi erti bahawa sesungguhnya Kerajaan Perpaduan ini bermula di Perak," katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera PRK N48 DUN Ayer Kuning di Pusat Arahan BN dekat Dewan Serbaguna Kampung Tersusun Haji Tahir, Temoh di sini pada Isnin.
Beliau mahu, jentera BN mahupun PH mempersiapkan diri menghadapi perang politik pihak lawan.
Katanya, meskipun di atas kertas, kombinasi antara BN dan PH bakal memberikan kemenangan dengan jumlah undi yang besar, namun perkara itu bukan jaminan sebenar.
"Selain pada fakta dan statistik, kita juga harus memenangi hati dan pemikiran rakyat khususnya para pengundi.
"Dalam keadaan inilah, kita amat berterima kasih kepada kepimpinan rakan-rakan di dalam PH yang telah merealisasikan kesepakatan yang dinamik di negeri Perak ini," katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berharap, isu-isu besar yang melanda negara ketika ini terutama berkaitan tarif timbal balik yang dikenakan Amerika Syarikat (AS), tidak dijadikan modal dalam kempen politik parti pembangkang.
"Jangan jadikan PRK Ayer Kuning ini sebagai tempat untuk melampiaskan rasa amarah.
"Isu ini adalah isu yang dikenakan kepada kita rakyat Malaysia di seluruh negara tanpa mengira parti politik, agama, latar belakang dan keturunan," katanya.