Ustaz Yusri Bakir calon BN PRK Ayer Kuning

TAPAH - [DIKEMAS KINI] Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sempena Majlis Pelancaran Jentera PRK N48 DUN Ayer Kuning di Pusat Arahan BN, Dewan Serbaguna Kampung Tersusun Haji Tahir, Temoh di sini pada Isnin.

Turut hadir, Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mohamad Yusri, 54, merupakan calon tempatan yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam Pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Bekas guru itu kini bertugas sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh. Beliau aktif dalam aktiviti kemasyarakatan termasuk sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak-anak Tapah, Ahli Majlis Daerah Tapah dan pernah menganggotai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Dari segi politik, bapa kepada empat orang anak itu yang menetap di Kampung Tersusun Haji Tahir pernah diberikan tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Tapah dan Ketua Biro Agama dan Kebajikan Pemuda UMNO Tapah.

Bercakap kepada pemberita, Ahmad Zahid berkata, pemilihan Mohamad Yusri dibuat berdasarkan latar belakang agama serta kelulusan akademik beliau, dan mendapat sokongan semua pihak.

“Sebagaimana dimaklumkan, daripada lapan nama, terdapat enam calon yang disenarai pendek dan dikemukakan kepada saya. Kita telah meneliti latar belakang serta laporan-laporan yang diterima daripada pelbagai pihak.

“Alhamdulillah, Dr Yusri telah terpilih. Insya-ALLAH, kali ini (calon BN) adalah seorang yang berlatarbelakangkan agama dan mempunyai kelulusan yang baik,” katanya.

Beliau berharap pemilihan Mohamad Yusri memberi kelebihan kepada BN untuk mengekalkan kemenangan di kerusi DUN Ayer Kuning, yang menjadi kubu kuat BN dan UMNO sejak beberapa siri pilihan raya umum lalu.

“Tambahan pula saya dimaklumkan bahawa isteri beliau adalah keturunan Cina. Jadi mudah-mudahan ia akan membantu dan menjadi satu kelebihan kepada beliau.

“Sudah tentu jentera BN dan PH (Pakatan Harapan) akan berganding bahu untuk menggerakkan kempen bagi memenangkan Dr Yusri dalam pilihan raya ini,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Yusri mengakui tidak menjangkakan pemilihannya sebagai calon, namun berazam memberikan komitmen penuh untuk memenangi kerusi tersebut.

“Saya masih berdebar dan terkejut. Terima kasih kepada seluruh kepimpinan parti yang memberi kepercayaan kepada saya untuk mewakili BN dalam PRK ini,” katanya.

Pada 28 Februari lalu, Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid menyerahkan notis kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin pada 22 Februari.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 April dan 22 April, manakala 26 April sebagai hari pengundian.

Pada PRU15, Ishsam yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,213 undi selepas memperoleh 9,088 undi dalam pertandingan lima penjuru, mendahului calon Pakatan Harapan (6,875), Perikatan Nasional (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).