Jangan ambil mudah walaupun sektor semikonduktor tak terjejas - Kian Ming

SHAH ALAM- Malaysia tidak boleh mengambil mudah walaupun sektor semikonduktor tidak terjejas oleh tarif timbal balik yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada minggu lepas.

Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming mengingatkan bahawa Trump sendiri secara terbuka menyebut Akta CHIPS sebagai ‘mengerikan’.

Menurutnya, ia adalah refleksi kepada permusuhannya terhadap mana-mana dan semua dasar Presiden AS sebelum ini, Joe Biden.

“Dia (Trump) ingin menunjukkan bahawa dasar tarifnya boleh berfungsi lebih baik daripada Akta CHIPS yang diperkenalkan Biden untuk meningkatkan pembuatan semikonduktor di AS.

“Semikonduktor adalah jenis aktiviti pembuatan bernilai tinggi yang Trump ingin lihat kembali ke AS, berbanding dengan pembuatan tekstil, contohnya.

“Adakah dia benar-benar mengambil berat tentang hujah mengenai kerumitan rantaian bekalan global untuk sektor semikonduktor supaya ia boleh dikecualikan daripada tarif timbal balik? Tidak mungkin,” jelasnya melalui hantaran di X pada Isnin.

Tambah Kian Ming, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong juga telah memberi amaran tentang ‘kejutan lanjut’ yang akan datang dalam mesej awamnya pada hujung minggu lalu.

Jelasnya, ia mungkin merujuk kepada jangkaan tarif ke atas sektor semikonduktor dan farmaseutikal yang telah dikecualikan setakat ini.

Beberapa penganalisis juga katanya menjangkakan bahawa sektor semikonduktor ‘tidak kebal’ terhadap tarif selanjutnya, terutamanya di bawah Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan yang telah digunakan Trump untuk industri keluli dan aluminium melalui tarif 25 peratus.

“Bahagian yang sama boleh digunakan pada sektor semikonduktor. Apakah yang boleh dilakukan oleh Malaysia dan negara ASEAN lain sebagai tindak balas? Dalam jangka pendek, tidak banyak.

“Kita harus terus mencuba untuk bekerjasama dengan pentadbiran Trump sebagai sebuah negara dan pengerusi ASEAN, tetapi saya tidak fikir tarif ini akan diundurkan dalam masa terdekat. Jika pengecualian diberikan kepada negara individu, ini akan mewujudkan ‘disincentives’ bagi syarikat untuk melabur semula di AS.

“Trump mesti mahu mengeluarkan lebih banyak konsesi dari negara yang berbeza tanpa semestinya memberikan sesuatu sebagai balasan dengan cepat. Ini adalah sebahagian daripada ‘seni perjanjian’,” jelasnya.

Kian Ming berkata, Malaysia dan ASEAN harus mengambil peluang ini untuk menyusun semula rantaian bekalan, mengeratkan hubungan perdagangan dan pelaburan serantau.

Selain itu katanya, bekerjasama dengan rakan dagang sedia ada dan baharu di Asia, Kesatuan Eropah (EU), Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta gabungan negara Amerika Selatan, Mercosur.

“Kita perlu mula memikirkan pilihan ‘tolak AS’ dan bergerak ke hadapan,” katanya.