PRK Ayer Kuning: BN akan jumpa seramai mungkin pengundi

TAPAH - Barisan Nasional (BN) akan menggerakkan jenteranya untuk bertemu seramai mungkin pengundi sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap pengundi mendapat maklumat tepat berkaitan isu semasa serta dasar-dasar parti.

Menurutnya, walaupun jumlah pengundi di DUN itu hanya sekitar 31,000 orang, BN menjangkakan sekitar 75 peratus akan keluar mengundi pada hari pengundian nanti.

"Lepas ini, tugasan kita adalah untuk pastikan jentera bekerja sekuat mungkin bagi menyantuni pengundi.

"Kita tidak akan fokus kepada ceramah besar-besaran, sebaliknya akan adakan sesi dalam kumpulan kecil yang lebih berkesan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN N48 Ayer Kuning di Pusat Arahan BN Kampung Tersusun Haji Tahir di sini, pada Isnin.

Mohamad berkata, jentera BN telah disusun dengan teratur melalui pendekatan negeri angkat, di mana setiap negeri dan bahagian dalam negeri Perak mengambil tanggungjawab terhadap satu Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Katanya, BN Perak telah menyusun gerak kerja tersebut dengan baik selain jentera dari negeri-negeri lain juga bertindak sebagai negeri angkat kepada PDM yang telah ditetapkan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua komponen BN, rakan-rakan Friends of BN serta parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) atas kerjasama yang diberikan.

Mohamad turut mengingatkan jentera BN agar bersiap sedia menghadapi pelbagai isu yang akan dibawa pembangkang sepanjang kempen berlangsung.

Dalam pada itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad memaklumkan jentera wanita telah pun digerakkan bagi memastikan kemenangan calon BN.

Menurut Noraini, jentera wanita digerakkan dari pelbagai peringkat termasuk tempatan, Parlimen dan negeri-negeri seluruh Malaysia.

"Satu Malaysia ada. Dari negeri-negeri pun hadir, dan sebentar lagi kita akan adakan mesyuarat koordinasi.

"Semua jentera ini akan digabungkan untuk bantu calon BN," katanya.