TAPAH – Barisan Nasional (BN) menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya 18,000 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang akan berlangsung pada 26 April ini.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai hasil kerjasama erat antara jentera BN dan Pakatan Harapan (PH), selain sokongan padu daripada rakan strategik di seluruh negara.
**media[3074973]**
Menurutnya, berdasarkan rekod Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kira-kira 75 peratus keluar mengundi di DUN Ayer Kuning dan jumlah pengundi berdaftar seramai 31,897 orang
"Dalam PRU15, calon BN Allahyarham Ishsam Shahruddin memperoleh 9,088 undi, calon PH dari Amanah mendapat 6,875 undi dan calon Perikatan Nasional (PN) pula meraih 6,812 undi.
"Atas kertas, jika semua undi BN dan PH digabungkan, kita sudah ada asas yang kukuh dengan anggaran 15,000 undi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN N.28 Ayer Kuning di Pusat Arahan BN, Kampung Tersusun Haji Tahir, Temoh di sini pada Isnin.
Hadir sama, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC yang juga Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan.
Turut hadir, Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Sementara itu, Saarani berkata, kehadiran jentera dari luar Perak seperti Perlis, Johor, Terengganu, Melaka dan Kelantan diharap mampu melonjakkan jumlah undi kepada 18,000 atau lebih.
Menurutnya, sasaran diletakkan itu bukan mustahil kerana jentera parti kerajaan Perpaduan di Parlimen Tapah sudah ada pengalaman di dalam pilihan raya sebelum ini dan masing-masing mempunyai pengundi serta penyokong.
"Jawatankuasa Pilihan Raya peringkat Tapah bekerja keras bersama seluruh jentera BN dan PH. Kita mahu semangat ini diterjemahkan dalam bentuk sokongan undi," katanya.