IPOH - DAP Perak bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning bagi membantu menggerakkan kempen calon Kerajaan Perpaduan.
Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, perkara tersebut diputuskan menerusi mesyuarat Jawatankuasa DAP negeri yang diadakan hari ini dan mengumumkan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How mengetuai jawatankuasa khas tersebut dengan dibantu Exco Kerajaan Negeri Perak, A Sivanesan.
Menurutnya, DAP Perak juga akan menggerakkan seluruh jentera pilihan raya parti itu dengan kesemua 18 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP telah diberikan tanggungjawab untuk menjaga pusat daerah mengundi (PDM) masing-masing.
“Mereka akan memberi kerjasama penuh kepada jentera BN selaku wakil Kerajaan Perpaduan dalam PRK kali ini.
"DAP Perak hari ini memutuskan sebulat suara menyokong penuh calon yang akan mewakili kerajaan Perpaduan dalam PRK Ayer Kuning,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.
Kor Ming berkata, DAP yakin kawasan DUN Ayer Kuning akan terus membangun sekiranya kekal di bawah perhatian dan sokongan kerajaan demi meningkatkan kemudahan prasarana serta kesejahteraan komuniti setempat.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Teluk Intan itu menjelaskan, kerjasama erat antara parti dalam Kerajaan Perpaduan amat penting khususnya ketika dunia sedang bergelut dengan ketidaktentuan ekonomi.
Katanya, keadaan itu ekoran krisis perang tarif yang dicetuskan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Jelas beliau, ketika dunia berdepan cabaran, rakyat Malaysia perlu berdiri teguh bersama Kerajaan Madani agar kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara terus terjamin.