PRK Ayer Kuning: Pemuda MCA tarik 21 peratus pengundi Cina pilih BN

IPOH - Pemuda MCA menyasarkan menarik lebih 21 peratus pengundi Cina untuk memilih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, 26 April ini.

Ketua Penerangan MCA, Neow Choo Seong berkata, jenteranya akan membantu menyakinkan lebih 6,600 pengundi untuk memilih calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir sepanjang tempoh berkempen bermula Sabtu ini.

"Pemuda MCA bersiap siaga untuk membantu memenangkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu dengan menarik seramai yang mungkin pengundi Cina keluar dan memilih calon BN semasa hari mengundi nanti.

"Kami yakin calon BN yang telah dipilih oleh kepimpinan tertinggi parti ini mampu meraih kemenangan, namun ia perlu disusuli dengan usaha keras daripada jentera di semua peringkat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut Choo Seong, pihaknya juga bersiap sedia untuk menghadapi 'peperangan' di media sosial termasuk menangkis segala serangan daripada pihak lawan.

"Jentera BN perlu diingatkan supaya jangan leka dan terlampau yakin sehingga lupa akan tujuan asal dengan memastikan semua pengundi keluar mengundi serta menjadikan calon BN sebagai pilihan utama mereka.

"Pemuda MCA bersama Pemuda BN yang dipimpin Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh giat merangka serta menjalankan pelbagai aktiviti khususnya mendekati golongan muda di Ayer Kuning.

"Kita mahu suara anak muda sentiasa didengari oleh pucuk pimpinan sama ada di peringkat tempatan, negeri mahupun nasional," katanya.

Media pada Isnin melaporkan BN mengumumkan Dr Mohamad Yusri, 54, dipilih sebagai calon bagi kerusi DUN Ayer Kuning

Beliau dijangka berdepan dua saingan lain iaitu Pengerusi PN Parlimen Tapah, Abdul Muhaimin Malek, 44 dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 39.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April depan, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.