Empat ketua cabang PKR Johor menang tanpa bertanding

JOHOR BAHRU – Seramai empat Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Johor menang tanpa bertanding menjelang pemilihan ketua cabang parti itu yang dijadualkan pada 20 April ini.

Naib Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, kemenangan tanpa bertanding tersebut melibatkan Cabang Ledang, Bakri, Pengerang, dan Kota Tinggi.

"Setakat ini, hanya empat cabang yang penyandangnya menang tanpa bertanding, manakala 22 cabang lagi di Johor akan mengadakan pertandingan pada pemilihan kali ini," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas melawat tapak pencawang elektrik di Bandar Tiram, di sini, pada Rabu.

Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Tebrau itu mengumumkan beliau akan bertanding di Cabang Tebrau selepas dua penggal mengetuai Cabang Pulai sejak 2018.

"Semua calon dan penyokong dinasihatkan agar mengelakkan insiden yang boleh mencemarkan pemilihan parti. Selepas pemilihan, semua perlu kembali bersatu untuk menguatkan parti," katanya.

Wee Tse menambah, kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Tebrau memberi kelebihan untuk bertanding sebagai Ketua Cabang Keadilan Tebrau dalam pemilihan kali ini.

"Ahli parti di kawasan Tebrau boleh menilai 'track record' saya sebagai ahli Parlimen. Saya bertanding di sini kerana permintaan daripada akar umbi. Lebih sesuai jika ahli Parlimen dan Ketua Cabang Keadilan adalah orang yang sama. Ini juga akan memperluas pengaruh parti di kawasan Tebrau," ujarnya.

Wee Tse dijangka berdepan pertembungan tiga penjuru, termasuk cabaran sengit daripada penyandang Ketua Cabang Keadilan Tebrau, yang juga Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran.

Sebelum ini, Wee Tse memegang jawatan Ketua Cabang Keadilan Pulai selama dua penggal sebelum memutuskan untuk bertanding di Tebrau.