Pas buat dua kajian sebelum pilih Muhaimin

TAPAH - Pas melaksanakan dua kajian sebelum memilih Abd Muhaimin Malek sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pada peringkat awal, nama Abd Muhaimin bersama dua calon yang dikemukan Pas Kawasan Tapah disaring di peringkat Pas Perak.

Menurutnya, selepas Pas Perak berpuas hati, nama calon berkenaan dibawa ke Jawatankuasa Pas Pusat sebelum dihantar ke Majlis Syura Ulama Pas.

"Majlis syura tidak melihat potensi menang atau kalah. Majlis Syura hanya lihat dari segi syarak. Dari segi syaraknya dia layak atau tidak jadi calon Pas.

"Setelah kita putuskan di peringkat syura, turun kepada jawatankuasa pusat semula untuk dipilih yang mampu berkhidmat, punya potensi untuk menang dan rakyat kawasan terima," katanya ketika berucap.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pengisytiharan Calon PN PRK N.48 Ayer Kuning di Dataran Awam Tapah Road di sini pada malam Selasa.

Tuan Ibrahim berkata, kajian juga dibuat dengan cara bertemu pengundi di bawah bagi mendapatkan pandangan ciri-ciri calon yang akan mewakili mereka pada PRK kali ini.

"Dua kajian kita buat. Kita bertemu dengan semua kaum iaitu Cina, India, Melayu fan Orang Asli. Kita berjumpa dengan semua lapisan masyarakat sama ada yang muda, yang tua.

"Kita berjumpa lelaki dan perempuan, kita buat tinjauan. Akhirnya, kita putuskan calon," katanya.

Beliau juga memaklumkan calon yang dikemukakan itu juga diterima sebulat suara oleh rakan-rakan di dalam PN.