SHAH ALAM - Kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning amat penting bagi BN dan Pakatan Harapan (PH) sebagai simbolik bagi mengukur tahap sokongan semasa.
Pensyarah Kanan Sains Politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan berkata, dengan beberapa keputusan dan dasar kerajaan kurang popular seperti penarikan subsidi, ukuran penerimaan rakyat terhadap kerajaan boleh diterjemah melalui keputusan dalam pilihan raya itu.
Menurutnya, walaupun mungkin ia bukanlah dalam skala lebih besar, tapi ia menggambarkan tahap sokongan akar umbi di tahap kecil.
“Kalau kita lihat mana-mana PRK yang berlaku, ia memang akan memberikan satu implikasi dan kepentingan yang tersendiri.
“Berdasarkan kenyataan Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi iaitu mengenai apa yang bakal berlaku pertama sekali yang penting ialah mengukur tahap sokongan semasa.
“Lebih-lebih lagi pada masa ini keadaan agak kritikal dengan isu seperti dasar-dasar kerajaan sebelum ini seperti penarikan subsidi diesel dan beberapa lagi yang mungkin akan diperkenalkan.
“Sedikit sebanyak ia akan memberikan kesan. Perkara signifikan yang paling ketara adalah sejauh mana PRK ini memberikan implikasi kepada BN kerana calon daripada parti itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN, bahawa parti itu perlu memenangi PRK DUN Ayer Kuning sebagai penentu kejayaan Kerajaan Perpaduan.
Ahmad Zahid juga memberitahu bahawa hasrat kemenangan itu turut disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu rentak kemenangan dalam PRK DUN Nenggiri dan Mahkota diteruskan di Ayer Kuning.
Tambah Ariff Aizuddin, BN perlu bekerja keras bagi mengekalkan kemenangan memandangkan beberapa isu sejak kebelakangan ini tidak begitu memihak kepada kerajaan.
“Apa yang mereka perlu lakukan ialah membentuk naratif baharu dan segar, selain daripada kerja di lapangan.
“Pada masa sama, BN perlu dibantu oleh rakan dalam politik iaitu PH dalam membentuk naratif yang mampu membentuk dan mempengaruhi pemikiran pengundi dan rakyat secara umumnya untuk membantu kemenangan mereka di Ayer Kuning.
“BN dan PH perlu mengolah kenapa rakyat perlu mengundi mereka. Ini penting kerana jika mereka gagal untuk bawa naratif itu, saya fikir pengundi akan menjadikan pihak lawan iaitu Perikatan Nasional (PN) sebagai satu alternatif baharu,” jelas beliau.
Jelasnya, PRK kali ini juga satu medan penting untuk melihat sejauh mana BN khususnya, mampu untuk mempengaruhi minda pengundi dengan aspirasi yang dibawa kepada rakyat dan bukannya dalam konteks menjanjikan pembangunan.