GEORGE TOWN – Dakwaan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) akan menindas pemilik rumah, khususnya masyarakat Melayu, adalah tidak berasas.
Pengarah Komunikasi Pemuda Parti Amanah Nasional (Amanah) Pulau Pinang, Abrar Sadiq berkata, akta tersebut bertujuan memastikan pembangunan semula kawasan perumahan usang demi kesejahteraan rakyat, termasuk golongan Melayu yang majoritinya menghuni rumah pangsa lama.
“Dakwaan pihak pembangkang bahawa akta ini menindas pemilik rumah, khususnya orang Melayu, adalah mengelirukan. Akta ini hanya menetapkan syarat persetujuan 51 peratus bagi projek terbengkalai, bukan semua projek.
“Langkah ini diambil bagi mempercepatkan penyelesaian untuk pemilik rumah yang telah lama terbiar dalam keadaan daif. Bagi projek yang masih berfungsi, kadar persetujuan yang lebih tinggi diperlukan, membuktikan bahawa kerajaan tidak sewenang-wenangnya merampas hak pemilik rumah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, pendekatan ini dibuat secara adil bagi memastikan pembangunan semula dilaksanakan dengan persetujuan majoriti yang munasabah.
Dalam pada itu, Abrar menyelar tindakan Pas dan Perikatan Nasional (PN) yang didakwa cuba menakut-nakutkan rakyat dengan fakta yang salah mengenai akta berkenaan.
“Mereka menuduh kerajaan mengabaikan hak rakyat, tetapi dalam masa yang sama menggunakan istilah yang salah seperti ‘Akta Ura’ dan bukannya Akta Pembaharuan Semula Bandar.
"Ini jelas menunjukkan mereka hanya berminat menunggang isu tanpa memahami kandungan sebenar akta ini,” katanya.
Tambah beliau, rakyat, khususnya masyarakat Melayu, diminta agar tidak terpengaruh dengan propaganda pembangkang yang bertujuan menimbulkan kebencian dan ketakutan.
"Akta ini adalah untuk kebaikan rakyat dan bukan alat untuk menindas mana-mana kaum," ujarnya lagi.
Terdahulu, Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) bersetuju menggubal PSB bagi memastikan kemampanan dalam pembangunan bandar.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, akta tersebut perlu digubal bagi menangani risiko keusangan dan kemerosotan kawasan bandar.
Bagaimanapun, beberapa pihak membantah penggubalan PSB, termasuk Gerakan Ekonomi Malaysia, yang mendakwa ia mengancam hak milik hartanah rakyat serta membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah.
Presidennya, Armin Baniaz Pahamin, berkata akta itu juga berpotensi meminggirkan golongan berpendapatan rendah apabila ambang persetujuan diturunkan daripada 100 peratus kepada 80 atau 75 peratus, sekali gus memberikan lebih kuasa kepada pemaju dan kerajaan.