TAPAH - MCA sedia bekerjasama dengan semua pihak dalam memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Timbalan Pengerusi MCA Bahagian Tapah, Choong Shin Heng berkata, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketiga-tiga kerusi melibatkan Parlimen Tapah, DUN Chenderiang dan DUN Ayer Kuning dimenangi oleh BN hasil kerjasama erat di antara UMNO, MCA dan MIC.
Menurutnya, kemenangan itu harus dikekalkan pada PRK DUN Ayer Kuning kali ini dengan apa cara sekalipun termasuk bantuan daripada parti kerajaan Perpaduan iaitu Pakatan Harapan (PH).
**media[3056309]**
"Dari segi penyelarasan jentera di antara BN dan PH, ia akan ditentukan oleh Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang mengetuai kerajaan Perpaduan.
"Kita nak menangkan kerusi di DUN Ayer Kuning ini. Kita kena kerjasama dengan semua pihak supaya kita boleh kekalkan kerusi ni dan memihak kepada BN, itu yang paling penting," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian sempena Program Meriah Beraya Sejahtera Bersama DUN Chenderiang di Dewan Kampung Pahang di sini pada Sabtu.
Shin Heng yang juga ADUN Chenderiang berkata, semangat BN mampu memberi kemenangan kerusi DUN Ayer Kuning pada PRK nanti.
Menurutnya, berdasarkan pengalaman lalu, ketiga-tiga parti di dalam BN di kawasan Parlimen Tapah bekerjasama erat dalam memastikan kemenangan masing-masing.
Katanya, ini kerana terdapat penduduk di DUN Chenderiang yang mengundi di DUN Ayer Kuning dan begitu juga sebaliknya.
Dalam perkembangan lain, Shin Heng memaklumkan seramai 150 penerima dalam kalangan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah menerima baucar RM150 seorang untuk pembelian baju raya.
Katanya, kesemua penerima terdiri daripada penduduk di kawasan DUN Chenderiang yang merupakan golongan B40.