SUNGAI PETANI - Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari bersedia menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mei nanti.
Beliau, yang juga Ketua AMK Kedah, menyatakan hasrat untuk terus berbakti serta memikul tanggungjawab kepimpinan di peringkat pusat.
"Saya telah berbincang secara mendalam dengan aktivis di seluruh Malaysia dan mendapatkan pandangan mengenai hala tuju saya. Di peringkat pusat, saya perlu memainkan peranan kerana jawatan ini adalah satu amanah serta tanggungjawab besar terhadap parti.
"Saya terpanggil untuk kembali menyumbang bakti sebagai Naib Ketua AMK Malaysia,” katanya ketika menghadiri program agihan bubur lambuk di Bazar Ramadan Taman Ria pada Jumaat.
**media[3056103]**
Beliau turut menyatakan sokongan kepada Muhammad Kamil Abdul Munim sebagai calon Ketua AMK Pusat.
"Saya menyokong saudara Kamil untuk mengetuai AMK di peringkat pusat. Beliau telah menyatakan hasrat memimpin, dan saya akan pastikan AMK terus relevan dalam kalangan anak muda," jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kepimpinan Cabang Sungai Petani telah dipilih secara konsensus tanpa sebarang pertandingan.
"PKR Sungai Petani adalah satu-satunya cabang daripada 15 cabang di Kedah yang mencapai kesepakatan tanpa pertandingan, apabila tiada calon lain mengemukakan pencalonan hingga tarikh akhir pada 21 Mac 2025, jam 11.59 malam.
"Keputusan ini mencerminkan kesepaduan ahli parti di peringkat cabang serta membolehkan kami memberi tumpuan penuh kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)," katanya.
Menurutnya, keputusan ini bukan sekadar menunjukkan kekuatan, tetapi juga hasil kematangan politik parti di Sungai Petani.
Beliau menegaskan bahawa fokus utama adalah untuk mengekalkan kemenangan kerusi Parlimen Sungai Petani serta DUN Bakar Arang dan Sidam, selain berusaha merampas kembali DUN Pantai Merdeka dalam PRU16.
"Kami bertekad memastikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kekal sebagai Perdana Menteri untuk penggal kedua serta menambah jumlah kemenangan kerusi PKR, khususnya di Kedah," katanya.