'DAP jangan campur tangan jawatan PM' - Noh

KUALA SELANGOR - DAP diingatkan supaya tidak campur tangan dalam isu berkaitan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri yang dicadang dihadkan kepada 10 tahun.

Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Noh Omar berkata, cadangan itu perlu dibincangkan dengan lebih mendalam kerana boleh memberi kesan kepada dasar dan pembangunan negara.

“Bagi saya, DAP tak perlu kecoh tentang isu ini, walaupun memang benar dalam Perlembagaan Malaysia tidak menyatakan bahawa Perdana Menteri mesti orang Melayu.

"Tetapi berdasarkan konvensyen dan menghormati kontrak sosial, jawatan itu seharusnya hak orang Melayu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media semasa Majlis Sumbangan Aidilfitri Parlimen Tanjong Karang di Taman Desa Mawar Sungai Yu di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Noh turut mencadangkan sekiranya Perlembagaan dipinda untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri, ia juga perlu menetapkan bahawa jawatan itu mestilah dipegang seorang Melayu beragama Islam.

“Ambil contoh negeri Selangor, dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor disebut bahawa Menteri Besar mestilah Melayu Islam.

"Mungkin ketika menggubal Perlembagaan Malaysia dulu, perkara ini terlepas pandang, tetapi ia adalah sesuatu yang penting,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa jawatan Perdana Menteri merupakan hak orang Melayu tanpa mengira parti mana yang mereka wakili.

“Kalau benar nak buat pindaan, biarlah adil. Jangan hanya hadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri, tetapi pastikan juga jawatan itu dipegang oleh Melayu Islam.

"Isu ini sensitif, saya ingat DAP tak perlu nak mengajarlah bagaimana orang Melayu nak memerintah negara kita," kata beliau.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebelum ini berharap kerajaan dapat meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, janji itu terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, kerajaan sedia meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun beliau menegaskan, proses itu akan dilaksana dengan rapi kerana ia memerlukan konsensus semua parti serta sokongan dua pertiga ahli Parlimen.