PRK Ayer Kuning: BN tiada masalah PSM tanding

TAPAH - Barisan Nasional (BN) tidak ada masalah untuk berdepan dengan mana-mana calon termasuk dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang mengumumkan akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kehadiran PSM di DUN Ayer Kuning bukan perkara baharu kerana parti itu pernah meletakkan calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun pada PRU15 itu, PSM yang diwakili Bawani KS memperoleh 586 undi berada di kedudukan keempat dan hilang wang deposit dalam pertandingan lima penjuru yang dimenangi BN.

"Jika PSM meletakkan calon, maka pertandingan akan melibatkan tiga penjuru. Mungkin ada calon lain juga. Tetapi sebelum ini, PSM pernah bertanding dan hilang deposit, kalau saya tidak silap.

"Jadi tidak mengapa, sesiapa sahaja yang mahu bertanding, kita bersedia untuk berhadapan dengan mereka," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Program Gerakan Koperasi Santuni Masyarakat Orang Asal Negeri Perak di Pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Daerah Batang Padang dan Muallim di sini pada Sabtu.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan dalam satu kenyataan pada Sabtu mengumumkan partinya akan meletakkan calon mereka pada PRK DUN Ayer Kuning.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani turut memaklumkan bahawa BN telah meminda tarikh pengumuman calon mereka dari 5 April kepada 7 April.

Katanya, perubahan tarikh itu dibuat kerana 5 April merupakan sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Madani di Melaka.

Menurutnya, pengumuman calon BN itu akan dibuat sendiri oleh Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ditanya mengenai calon yang akan dimuktamadkan, Saarani berkata, perkara itu hanya diketahui oleh Ahmad Zahid.

"Keputusan mengenai calon berada di tangan Presiden. Presiden sekarang berada di Makkah, jadi kemungkinan beliau menunaikan solat istikharah untuk mendapatkan panduan dan pedoman daripada ALLAH SWT.

"Setelah beliau pulang nanti, kita akan umumkan calon pada 7 April. Saya telah berjanji bahawa pengumuman calon akan dibuat oleh Presiden sendiri," katanya.

Beliau berkata, majlis pengumuman calon tersebut akan diadakan di Pusat Arahan BN di Rancangan Perumahan Tersusun Kampung Haji Tahir sempena sambutan Hari Raya Ahli Parlimen Tapah.