JOHOR BAHRU – Isu banjir yang berulang di negeri ini perlu ditangani dengan tindakan tegas, bukan sekadar menuding jari kepada pihak tertentu.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Samsudin Ismail, berkata, rakyat semakin bosan dengan alasan yang diberikan setiap kali bencana melanda kerana penyelesaian jangka panjang masih belum direalisasikan.
"Rakyat Johor sekali lagi diuji dengan bencana banjir, namun langkah penyelesaian masih di takuk lama.
"Setiap kali banjir berlaku, rakyat hanya diberikan peringatan bahawa tiada kompromi terhadap kelewatan projek tebatan banjir.
"Persoalannya, mengapa kelewatan ini terus berulang? Tindakan menuding jari kepada pihak pelaksana semata-mata bukan penyelesaian kerana tanggungjawab utama memastikan projek ini berjalan lancar terletak di tangan kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melengahkan pelaksanaan projek tebatan banjir di Johor.
Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil susulan keadaan banjir di negeri ini yang semakin membimbangkan akibat hujan lebat berterusan lebih 24 jam.
Sementara itu, Samsudin menegaskan bahawa pemimpin kerajaan negeri perlu memastikan setiap projek tebatan banjir dilaksanakan tanpa kelewatan.
Bagaimanapun, katanya, masalah sama terus berulang dan rakyat menjadi mangsa saban tahun.
"Sejak sekian lama, rakyat dijanjikan pelbagai peruntukan bagi rancangan tebatan banjir bernilai ratusan juta ringgit, sama ada daripada kerajaan negeri mahupun persekutuan.
"Syarikat yang terbabit dalam projek ini mungkin mengaut keuntungan, tetapi rakyat tetap menanggung derita setiap kali bencana berlaku," katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa sepanjang 2023, kerugian akibat kerosakan jalan raya di Johor susulan banjir mencecah RM168 juta.
Tambahnya, jumlah itu belum termasuk kerugian harta benda serta sektor ekonomi lain yang jauh lebih besar.
Dalam pada itu, Bersatu Johor menempelak keputusan kerajaan pusat yang didakwa membatalkan projek tebatan banjir pada 6 Disember 2022, menyebabkan rakyat menanggung akibatnya.
“Tindakan separuh matang itu terbukti salah dan gagal. Kini, rakyat terpaksa menanggung kesan besar akibat keputusan tersebut.
“Banjir bukan satu tragedi luar jangka seperti pandemik Covid-19, sebaliknya ia berlaku hampir setiap tahun,” katanya.