Biar MKT UMNO buat keputusan - Veteran UMNO

SHAH ALAM - Veteran UMNO menyerahkan kepada barisan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk membincangkan permohonan DAP supaya kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan dalam konteks mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakob berkata, ini kerana sebarang ketetapan parti perlu melalui proses yang sepatutnya.

“Kalau dilihat cadangan ini merupakan manifesto Pakatan Harapan (PH) ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini. Kalau sebut tentang janji ia perlu dilaksanakan tapi dalam skop ini UMNO perlu berbincang terlebih dahulu.

“Jadi, kita serahkan kepada MKT untuk buat ketetapan kerana apabila pinda perlembagaan ini ia tidak lagi boleh dikembalikan dan kena patuhi tempoh dua penggal atau 10 tahun sahaja menjawat jawatan Perdana Menteri,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Bagaimanapun, Mustapha secara peribadi bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh DAP tersebut ketika Kongres Kebangsaan DAP ke-18 pada Ahad.

Katanya, dengan adanya had tempoh untuk seseorang memegang jawatan pemimpin nombor satu negara itu akan memberi banyak kesan positif terutamanya bagi mengelak berlaku salah guna kuasa.

“Bagi saya, itu satu cadangan yang baik dan boleh dipertimbangkan untuk dilaksanakan. Tapi jika perkara ini dipinda kita harap bukan sahaja melibatkan jawatan Perdana Menteri tetapi turut membabitkan menteri dalam Kabinet.

“Tidak dinafikan jika terlalu lama memegang jawatan penting ini boleh mendedahkan kepada risiko salah guna kuasa dan sebagainya. Jadi, ini satu usaha yang baik,” katanya.