Ahli DAP Pulau Pinang diminta kembali bersatu, sokong pimpinan baharu

GEORGE TOWN - DAP Pulau Pinang meminta semua ahlinya agar kembali bersatu dan memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan baharu parti selepas berakhirnya pemilihan baru-baru ini.

Setiausaha Organisasi DAP Pulau Pinang, Phee Boon Chee berkata, tumpuan utama kini adalah untuk memperkukuh perpaduan dalam kalangan ahli bagi memastikan kejayaan dalam pilihan raya negeri dan pilihan raya umum yang akan datang.

"Selepas pemilihan parti, susunan semula dan kerjasama erat dalam kalangan parti harus diberi keutamaan.

"Ini bagi penyediaan kita untuk menghadapi pilihan raya negeri di Sabah, Melaka dan Johor serta menghadapi pilihan raya umum yang dijangka dalam tempoh tiga tahun lagi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, kemenangan dan kekalahan dalam politik adalah lumrah, justeru mereka yang tidak terpilih dalam pemilihan parti tidak seharusnya berputus asa atau menyimpan perasaan yang boleh melemahkan parti.

"Jangan sombong ketika menang, jangan berputus asa ketika kalah. Selepas pemilihan parti, kita perlu mengetepikan perbezaan dan bekerja secara harmoni demi matlamat yang lebih besar.

"Daripada peringkat akar umbi hingga kepimpinan tertinggi, semua perlu berganding bahu untuk memastikan parti terus kukuh dan mendapat kepercayaan rakyat,” katanya.

Menurutnya, semua ahli dan pimpinan tertinggi harus terus berpegang teguh kepada prinsip parti, berkhidmat dengan penuh integriti dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

"Hanya dengan perpaduan, kejayaan dapat dicapai. Tahniah saya ucapkan kepada semua rakan seperjuangan yang dipilih untuk menerajui parti dan berharap mereka menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Terdahulu seramai 4,203 perwakilan daripada 1,650 cawangan menghadiri kongres sehari secara fizikal di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam dan bertanggungjawab mengundi 30 Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) untuk penggal 2025-2028 yang berlangsung sempena Kongres Kebangsaan DAP ke-18 pada Ahad.

Dalam pemilihan itu, Gobind Singh Deo dipilih sebagai Pengerusi DAP Kebangsaan yang baharu menggantikan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Gobind yang juga Menteri Digital mendahului persaingan bagi pemilihan CEC dengan memperoleh 2,785 undi.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke juga berjaya mengekalkan pengaruhnya dalam DAP apabila dipilih semula untuk menganggotai CEC.

Penyandang jawatan Setiausaha Agung DAP itu merupakan antara 30 calon yang memenangi pemilihan CEC kali ini untuk membarisi kepimpinan baharu parti berkenaan.