KOTA KINABALU – UMNO Sabah tidak akan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), sebaliknya memberi jaminan untuk memastikan parti itu sentiasa berada di landasan yang betul bagi menghadapi pilihan raya tersebut.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, parti itu telah meneliti kerusi yang akan ditandingi dan memberikan kerusi kepada pihak yang ingin bekerjasama dengan mereka.
"Kita telah meneliti kerusi-kerusi yang kita ingin bertanding dan kita akan mengetengahkan kerusi ini kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan kita.
"Sebab pilihan raya kali ini, rakyat bukan lagi melihat siapa rakan kita tetapi turut melihat pertama parti dan calon yang diketengahkan dapat membawa arus perubahan kepada rakyat itu sendiri.
"Kita sudah kenal pasti cuma kita belum buat keputusan dengan siapa kita bergabung, cuma saya ingin nyatakan UMNO tidak akan bergabung dengan parti yang telah menghianati kita," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar Ramadan UMNO Zon 2 (Sepanggar, Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang) di sini, pada Ahad.
Ketika ditanya mengenai keputusan Parti Warisan (Warisan) dan parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang memilih untuk bertanding secara solo, Bung Moktar berkata UMNO menghormati keputusan tersebut.
"Kami menghormati keputusan mana-mana parti yang ingin bertanding secara solo dan mereka perlu membuktikan bahawa mereka mempunyai keupayaan dalam pilihan raya ini. Sebab dalam pilihan raya, pelbagai perkara boleh berlaku.
"UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan mungkin akan pergi solo, tetapi kita akan memastikan bahawa UMNO sentiasa berada dalam platform yang baik iaitu kita bersedia dari segala sudut jentera kita berhadapan dengan pilihan raya.
"Sebab UMNO ingin memastikan BN kekal sebagai parti dominan," katanya.