UMNO Sabah kekalkan 40 peratus penyandang termasuk Bung Moktar

KOTA KINABALU – UMNO Sabah akan mengekalkan sekitar 40 peratus penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) milik Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan diadakan tahun ini.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, parti itu telah meneliti kerusi yang akan ditandingi, namun keputusan muktamad masih belum dibuat.

"Mesyuarat mengenai agihan kerusi ada, tetapi perbincangan mengenainya masih belum dimuktamadkan kerana kita menunggu keputusan BN Pusat. Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) bersama Presiden UMNO dan empat gabungan parti lain masih berbincang.

"Biasanya, kita akan menunggu keputusan dari BN Pusat terlebih dahulu, kemudian barulah kita menentukan sama ada bersetuju atau tidak sebelum respons semula cadangan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar Ramadan UMNO Zon 2 (Sepanggar, Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang) di sini, pada Ahad.

Ketika ditanya mengenai kuasa autonomi UMNO Sabah dalam menentukan kerusi yang akan ditandingi, Bung Moktar menjelaskan bahawa perbincangan antara presiden parti perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum keputusan dikemukakan kepada BN Sabah.

"Kita ada autonomi, tetapi realitinya presiden parti akan berbincang dahulu dan kemudian mencadangkan keputusan kepada BN negeri.

"UMNO negeri akan mempertimbangkan cadangan itu dan jika ia boleh memihak kepada kemenangan BN, kita akan bersetuju. Jika tidak, kita akan membalas semula cadangan tersebut," katanya.

Mengulas mengenai pemilihan calon, beliau mengesahkan bahawa sekitar 30 hingga 40 peratus penyandang akan dikekalkan selain turut mengetengahkan calon wanita pada PRN kali ini.

"Setakat ini sudah tiga kerusi kita umum calonnya, yang dikekalkan sekitar 30 hingga 40 peratus. Calon wanita, mesti ada. sebab kalau tiada, susah kita.

"Namun peratus untuk kouta wanita, kita akan lihat berdasarkan dua faktor iaitu kouta yang ditetapkan dan kedua, calon wanita yang boleh menang sebab kita tidak mahu tercicir satu kerusi pun," katanya.

Bung Moktar dalam pada itu turut mengesahkan tiga calon kerusi yang disahkan akan bertanding adalah termasuk kerusi miliknya.

"Insya-ALLAH, ketua panglima kalau tidak bertanding itu tidak betul," katanya sambil berseloroh.

Sementara itu, diminta mengulas perkembangan semasa mengenai siasatan terhadap bekas Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mungkin akan memberi kesan kepada PRN Sabah, beliau tidak menolak ia akan berlaku.

"Saya lihat kesan-kesan sampingan itu memang ada, cuma kita cuba tanggani isu ini. Memandangkan siasatan masih berjalan, saya tidak boleh mengulas lanjut kerana kita sendiri belum mengetahui keputusan akhirnya.