SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini akan terus kekal mempertahankan jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti itu yang dijadualkan berlangsung pada Mei depan.
Bekas Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim berkata, tidak ada calon lain dalam kalangan kepimpinan parti sekarang yang berwibawa untuk mencabar Ahli Parlimen Tambun itu.
"Saya bukan ahli nujum, namun berdasarkan riak-riak di permukaan, saya percaya Anwar akan terus mempertahankan jawatan Presiden PKR.
**media[3045885]**
"Namun, saya lihat Anwar berdepan cabaran besar untuk melahirkan pemimpin pengganti dalam PKR yang setanding dengan kebolehan beliau atau lebih baik daripadanya," katanya.
Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata, cabaran tersebut juga boleh menjadi antara kegagalan terbesar Anwar sebagai pemimpin PKR selama lebih 25 tahun.
Justeru, bagi melahirkan pelapis Presiden yang berkaliber, Hassan menyarankan supaya PKR meminda perlembagaan parti dengan membenarkan jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR di peringkat negeri-negeri dipertandingkan secara demokratik dalam kalangan ketua-ketua cabang yang telah terpilih dalam pemilihan parti yang turut demokratik.
"Kuasa Presiden parti untuk melantik pengerusi pimpinan PKR di negeri-negeri hendaklah dihapuskan dalam perlembagaan PKR," tegasnya.
Diminta mengulas mengenai cadangan disuarakan sebelum ini supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan PKR, Hassan menyifatkan cadangan itu tidak mendatangkan masalah kerana parti mengiktiraf kebebasan bersuara ahli dan anggota mereka.
"Tetapi ia tidak boleh melampau misalnya sehingga sampai ke tahap ibu pejabat PKR mengadakan satu perhimpunan atau taklimat khas parti supaya diluluskan satu usul bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan," ujarnya.
**media[3045948]**
Sementara itu, bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, Anwar ketika ini tidak menghadapi cabaran dalam parti tetapi beliau berdepan dengan isu untuk menyakinkan rakyat mengenai teras utama perjuangan mereka.
Mengulas lanjut, Tian Chua menegaskan, ia kerana sejurus selepas menjadi pemerintah, hala tuju perjuangan PKR dilihat menjadi tanda tanya di kalangan rakyat.
"Selepas jadi kerajaan adakah masih relevan reformasi yang dilaungkan? Perkara seperti ini yang harus diketengahkan sekali dalam kongres dan juga dalam pemilihan akan datang.
"Rakyat nak lihat pemimpin yang mempertahankan kedudukan atau calon yang bertanding memperjelaskan kedudukan isu-isu yang dulu diperjuangkan PKR. Contohnya kalau ada perkara yang sudah tidak diperjuangkan kena jelaskan supaya rakyat memahami," katanya.
Namun, bagi beliau, pemilihan kali ini tidak akan mempengaruhi kedudukan PKR dalam Kerajaan Perpaduan disebabkan soal kedudukan berkenaan bergantung kepada bilangan ahli Parlimen yang ada.
Katanya, walau siapa pun yang menang dalam pemilihan PKR tersebut nanti, ia tidak akan mengubah komposisi dalam Kabinet.