Tun M perlu tegur dengan jujur jika mahu Malaysia maju - Lip Eng

SHAH ALAM - Negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat terus-menerus menyerang kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa menawarkan sebarang jalan penyelesaian.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, bekas Perdana Menteri itu sepatutnya menegur kepimpinan baharu dengan jujur dan bertanggungjawab sekiranya mahu melihat Malaysia maju.

Menurut beliau, Malaysia memerlukan kepimpinan yang berani, bukan hanya tahu menyalahkan keadaan ekoran daripada emosi tidak berkesudahan.

Jelasnya, bekas ahli Parlimen Langkawi terbabit perlu sedar bahawa rakyat sudah menyampah dengan politik dendam dan perebutan kuasa.

"Dr Mahathir nampaknya tak boleh mengawal diri daripada menyerang Anwar. Pada usia hampir 100 tahun, beliau terus mencari jalan untuk menjatuhkan Anwar daripada manipulasi politik hingga pelbagai pendakwaan.

"Kini, selepas lebih dua tahun Anwar menerajui negara, Dr Mahathir masih lagi meroyan di media sosial dengan tuduhan tidak berasas.

"Mengapa Dr Mahathir begitu obses? Jawapannya mudah, ego. Beliau tak mampu terima hakikat Anwar jadi Perdana Menteri. Ego menyebabkannya mahu kekal dianggap satu-satunya pemimpin hebat dan sesiapa yang tidak tunduk kepada panduannya akan dihina," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, Dr Mahathir mendakwa Anwar menghalang beberapa pemimpin negara asing daripada bertemu dengan beliau.

Dakwanya lagi, penyokong Anwar sendiri turut dilarang berjumpa dengannya dan bakal dikenakan tindakan jika berbuat begitu.

Susulan itu, Anwar membidas tuduhan sedemikian dan dakwaan tersebut tidak sepatutnya dipertimbangkan atau dilayan.

Terbaharu, Dr Mahathir yang juga bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) secara sinis mengatakan bahawa Anwar boleh menafikan dakwaan, namun pada masa sama beliau dinasihatkan supaya berhenti berbohong.

Mengulas lanjut, Lip Eng berpandangan, Dr Mahathir juga berhak bersuara, bagaimanapun jika benar mahu melihat Malaysia maju, beliau patut memberikan ruang kepada kepimpinan baharu untuk membuktikan kemampuan, bukannya berterusan mengulangi dendam lama.

Tambahnya, Dr Mahathir perlu benar-benar memikirkan tentang jenis legasi yang beliau ingin tinggalkan.

"Anwar mewarisi ekonomi bermasalah dan sistem politik yang pincang akibat dasar-dasar lama, terutamanya ketika zaman Dr Mahathir.

"Tun sudah dua kali mentadbir dan dua kali juga negara bergolak selepas beliau berundur.

"Jadi, siapa yang gagal sebenarnya? Anwar lebih dua tahun memimpin, tetapi Dr Mahathir bertindak seolah-olah semua masalah negara bermula dari 2022," ujarnya.