IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyifatkan pemergian Allahyarham Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada Sabtu sebagai satu kehilangan besar.
Beliau berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning itu bukan sahaja seorang pemimpin berjiwa rakyat, malah secara peribadi mempunyai hubungan rapat dengan dirinya.
"Kami kawan dah lama. Saya mengenali Allahyarham sejak dia menjadi pemain bola sepak lagi.
"Jadi sebelum jadi ketua bahagian dan sebelum menjadi wakil rakyat lagi, kami memang sudah mengenali secara rapat.
"Malah semasa saya menjadi Ketua Pembangkang pun, beliau sering datang berjumpa, berbincang dan mengutarakan isu serta permohonan dari kawasannya," katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di kediaman keluarga di Desa Sri Ampang di sini pada Ahad.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak itu berkata, kali terakhir bertemu Allahyarham pada Jumaat lepas semasa mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).
Katanya, Allahyarham sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah turut memberi pandangan dalam beberapa isu yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.
**media[3019320]**
"Dalam Dewan (DUN Perak) pun beliau ADUN yang kerap bangun bercakap untuk memberi pandangan.
"Saya ingat baru-baru ini saya ada meluluskan permohonan dia untuk naik taraf masjid kampung di Ayer Kuning.
"Ada juga dia adukan berkaitan laluan baharu yang dibuat JKR (Jabatan Kerja Raya) dan saya telah turun padang bersama melihat keadaan itu.
"Pada saya, Allahyarham telah memberi perkhidmatan yang baik kepada masyarakat di kawasannya," katanya.
Ishsam, 59, disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan Hospital Pulau Pinang jam 6.28 petang pada Sabtu akibat serangan jantung.
Beliau sebelum itu dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri kira-kira jam 5.20 petang ketika bersalaman dengan pemain di tepi padang sempena Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, George Town.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ishsam yang pertama kali bertanding sebagai calon UMNO memenangi kerusi DUN N48 Ayer Kuning.
Beliau yang juga Pengerusi BN Parlimen Tapah dan Ketua UMNO Bahagian Tapah memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 2,213 undi, menewaskan empat calon lain.