IPOH - Biarpun menerima sokongan daripada 14 Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri untuk bertanding jawatan Ketua AMK Pusat pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim tetap merendah diri.
Menurutnya, sokongan terbuka yang diberikan oleh kesemua AMK negeri ini amat dialu-alukan.
Bagaimanapun beliau menyifatkan masih terlalu awal untuk mengumumkan keputusan bertanding bagi jawatan berkenaan.
"Saya hargai sokongan yang diberikan oleh rakan-rakan AMK. Setakat ini semua 14 negeri telah nyatakan sokongan dan secara umumnya itu keadaannya baik. Insya-ALLAH, saya fikir tak ada masalah untuk dipertimbangkan dengan lebih lanjut dan teliti.
"Cuma belum waktu dan ketikanya lagi untuk kita buat kenyataan dengan jelas dan tunggu waktu yang diberikan nanti. Saya yakin kita pun harus pertimbangkan suara akar umbi dan juga hasrat serta aspirasi mereka," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Makan Malam Semarak Keadilan Kita Madani di Galasa Caldwell di sini pada Sabtu.
Ditanya kemungkinan sokongan kesemua AMK itu memberi bayangan tiada pertandingan bagi jawatan tersebut, Muhammad Kamil tidak melihat kemungkinan itu.
Jelas Timbalan Ketua AMK Pusat itu, sebagai parti yang mengamalkan demokrasi, tiada halangan untuk mana-mana individu menawarkan diri bertanding jawatan tersebut.
"Sokongan itu juga sebahagian daripada amalan demokrasi dan tidak juga sokongan ini menghalang mana-mana pihak menawarkan diri untuk bertanding. Itu hanyalah amalan ataupun suara yang cuba ditonjolkan oleh akar umbi, tak timbul soal tiada pertandingan.
"Pertandingan masih lagi terbuka. Kita tunggu pada waktu dan ketikanya itu, kalau ada mana-mana pihak yang ingin menawarkan diri untuk bertanding, gelanggang demokrasi dalam Keadilan (PKR) itu sentiasa terbuka," katanya.
Sebelum ini, AMK Perak antara sayap parti terawal yang menyatakan sokongan agar Muhammad Kamil bertanding bagi merebut jawatan Ketua AMK Pusat pada pemilihan parti itu tahun ini.
Mesyuarat pemilihan cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi tahun 2025 akan bermula dengan proses penamaan calon pada 14 hingga 16 Mac 2025.
Pemilihan bagi jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang, Wanita Cabang, dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 20 April 2025.
Bagi peringkat pusat, pencalonan untuk jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Wanita Pusat, dan AMK Pusat akan diadakan pada 3 dan 4 Mei 2025, manakala pemilihan bagi jawatan-jawatan tersebut dijadualkan pada 24 Mei 2025.
Manakala proses pemutihan keanggotaan PKR sedang berjalan, dengan pengesahan keanggotaan dan pendaftaran mengundi untuk pemilihan 2025 bermula pada 1 Februari dan berakhir pada 16 Mac 2025.