Pas dakwa penjelasan Anwar lemah, cetus lebih banyak persoalan

SHAH ALAM - Pas mendakwa penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu Titah Adendum bukan sahaja lemah dan mengelirukan, malah berpotensi mencetuskan konflik undang-undang serta krisis Perlembagaan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kenyataan Anwar juga mampu menghakis keabsahan kerajaan pimpinannya sendiri.

Menurut ahli Parlimen Kota Bharu itu, persoalan utama yang timbul adalah tentang masa dan cara Anwar mengeluarkan kenyataan tersebut kelmarin.

Jelasnya, kenyataan itu dibuat selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya membenarkan rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapat kebenaran memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan dua permohonan.

“Antaranya, untuk mahkamah mengeluarkan perintah mandamus supaya responden mengesahkan kewujudan adendum dan sekiranya ia wujud, perintah mandamus memaksa mereka kuat kuasa titah agar Najib jalani baki hukuman penjaranya di rumah.

“Ini menunjukkan kerajaan tiada pilihan melainkan akui kewujudan titah setelah hampir satu tahun mengelak. Cara pengakuan pula bersahaja iaitu dalam satu acara umum yang tidak berkaitan isu penting membabitkan institusi diraja, Peguam Negara, mahkamah serta hak seorang banduan mengikut undang-undang.

“Ia seolah-olah Perdana Menteri beranggapan perkara tersebut tidak layak mendapat perhatian khas kerajaan umpamanya melalui satu kenyataan rasmi daripada beliau sendiri atau mana-mana kementerian mahupun agensi yang terkait langsung dengannya,” kata Takiyuddin dalam kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, Anwar pada Sabtu menafikan dakwaan kerajaan menyorok titah yang membolehkan Najib menghabiskan baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Sebaliknya, Presiden PKR itu memaklumkan, beliau antara individu terawal membawa perkara berkenaan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Menurut Ahli Parlimen Tambun berkenaan, pendirian beliau yang enggan mengulas isu tersebut dan mengambil pendekatan berdiam diri kerana ia melibatkan institusi diraja.

Bagaimanapun, kata Anwar, adendum berkenaan disampaikan kepada Peguam Negara dan apabila Yang di-Pertuan Agong bertukar, ia diserah pula kepada Istana Negara kerana baginda yang mempengerusikan Lembaga Pengampunan.

Anwar juga menempelak sikap pemimpin pembangkang yang seolah-olah mahu menyalahkan beliau tentang isu Titah Adendum.

Takiyuddin berkata, sebagai kerajaan yang sering bercakap tentang kepentingan tatakelola dan kecekapan tadbir urus, kegagalan bertindak balas secara profesional atau telus dalam isu terbabit tidak boleh diterima sama sekali.

Tambahnya, pendirian konsisten peguam kerajaan di kedua-dua mahkamah untuk terus berdiam diri berhubung kewujudan titah berkenaan juga disifatkan perbuatan menyembunyikan maklumat penting, bahkan boleh ditafsirkan sebagai menipu.

“Ini tentulah bercanggah dengan penjelasan Anwar bahawa titah berkenaan dialamatkan kepada Peguam Negara. Tak mungkin Peguam Negara bukan sahaja memilih untuk ‘menyembunyikan’ titah yang diterimanya secara langsung daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16, tetapi mendiamkannya di mahkamah.

“Jelas bahawa tindakan itu mendedahkan Peguam Negara kepada kesalahan seperti menghalang perjalanan keadilan, menghina mahkamah, salah laku pegawai awam dan profesional, menipu, menghalang keadilan, tafsiran salah serta tindakan sivil lain.

“Semasa titah dibuat, Yang di-Pertuan Agong ke-16 masih bertakhta dan titah baginda mesti dilaksanakan sepenuhnya kerana kegagalan berbuat demikian adalah perbuatan derhaka terhadap institusi diraja serta konsep Raja Berperlembagaan,” ujarnya lagi.