SHAH ALAM - Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memecah kesunyian dengan menjawab segala persoalan berhubung Titah Adendum sekali gus menamatkan tuduhan tidak berasas dibuat Pas dan Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Politik Pejabat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), G Manivanan berkata, respons diberikan setelah hampir dua minggu berdiam diri adalah langkah yang bijak dari segi politik dan tepat menurut undang-undang.
Jelasnya, isu mengenai adendum melibatkan dua pemerintah iaitu Yang di-Pertuan Agong terkini, Sultan Ibrahim dan sebelumnya, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta institusi Raja-Raja Melayu.
“Oleh itu, amat penting bagi Perdana Menteri memastikan proses perlembagaan dipatuhi tanpa campur tangan. Keputusan untuk bersuara mencerminkan tanggungjawab menjaga martabat institusi diraja agar tiada yang mencemarkannya dalam sistem politik negara.
“Serangan Pas dan PN serta usaha untuk meremehkan integriti kerajaan memerlukan satu jawapan tegas. Kedua-dua parti mengkritik kerajaan tanpa memahami proses undang-undang dan perlembagaan terlibat.
“Kenyataan Anwar membongkar kelemahan tuduhan Pas dan PN serta mengesahkan bahawa kerajaan mengikuti proses sah. Ini tamparan maut kepada tuduhan tersebut sekali gus menyerlahkan niat mereka untuk mengelirukan rakyat,“ katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Anwar pada Sabtu menafikan dakwaan kerajaan menyorok titah yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghabiskan baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Sebaliknya, presiden PKR itu memaklumkan, beliau antara individu terawal membawa perkara berkenaan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Menurut ahli Parlimen Tambun itu, pendirian beliau yang enggan mengulas isu tersebut dan mengambil pendekatan berdiam diri kerana ia melibatkan institusi diraja.
Bagaimanapun, kata Anwar, adendum berkenaan disampaikan kepada Peguam Negara dan apabila Yang di-Pertuan Agong bertukar, ia diserah pula kepada Istana Negara kerana Baginda yang mempengerusikan Lembaga Pengampunan.
Dalam pada itu, Anwar menempelak sikap pemimpin pembangkang yang seolah-olah menyalahkan beliau tentang isu Titah Adendum.
Manivanan berpandangan, berdasarkan tarikh penting dari 29 (Mesyuarat Lembaga Pengampunan) hingga 31 Januari 2024 (Agong angkat sumpah), Peguam Negara wajar merujuk perkara terbabit kepada ketua negara yang baharu dilantik.
Tambahnya, ia bertujuan memelihara integriti dan kesucian institusi Diraja sambil mematuhi piawaian tertinggi dalam tadbir urus.
Justeru, beliau berpendapat, Pas dan PN menunjukkan sikap hipokrit dalam mengkritik tindakan kerajaan tanpa mengambil kira martabat institusi diraja, bahkan prinsip undang-undang.
Tambahnya, kegagalan pembangkang memahami konteks dan implikasi adendum mencerminkan kekurangan dari segi kematangan politik.
“Sebaliknya, mereka patut usahakan dialog yang membina, tetapi memilih untuk mengambil kesempatan politik sekali gus meremehkan institusi raja dan kehakiman.
“Tindakan melulu ini melemahkan kepercayaan rakyat dan mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang dihadapi negara,” ujarnya.