KOTA KINABALU - Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Datuk Mustapha Sakmud melihat gabungan antara parti nasional dan tempatan merupakan formula terbaik dan akan menjamin kejayaan Sabah.
Malah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi itu berkata, PKR sebagai parti nasional sudah biasa dengan keadaan tersebut.
"Kita hormati pandangan mereka, tapi kami sebagai parti nasional kita ada pandangan kita sendiri. Bagi kami, kerjasama antara parti nasional dan parti lokal itu yang paling penting dalam peringkat negeri ini.
"Mungkin negeri-negeri lain berbeza, tapi di peringkat negeri Sabah ini, gabungan antara parti nasional dan parti lokal itu yang akan menjamin kejayaan negeri ini dan kita sudah biasa dalam keadaan seperti ini.
"Saya fikir, formula yang paling baik untuk negeri Sabah ini ialah gabungan parti nasional dan parti lokal. Saya fikir kita sudah biasa bekerjasama, sebelum ini pun kita bekerjasama dengan parti-parti lokal," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sentimen parti lokal yang dimainkan parti tempatan di negeri ini adakah memberi ancaman kepada PKR Sabah sebagai sebuah parti nasional.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi MPN PKR Sabar, Datuk Peto Galim berkata, walaupun mereka dikenali sebagai parti nasional namun semua kepimpinan dalam PKR adalah orang lokal.
"Isu yang mengapi-apikan parti lokal itu adalah pandangan mereka sendiri, kita malas campur sangat naratif pembawaan mereka," katanya.
Bagi Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat merangkap Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin pula menegaskan bahawa PKR bukan parti Semenanjung sebaliknya sebagai parti nasional.
"Kita wujud di Sabah ini sejak parti ini wujud di Semenanjung pada 4 April 1999 ditubuhkan sekali di Sabah. Kita bukannya macam beberapa parti itu yang diwujudkan di Semenanjung akhirnya masuk ke Sabah.
"Jadi, kita ini adalah parti nasional, kita juga lahir di Sabah dan kita sudah lebih 25 tahun berada di Sabah ini," katanya.